
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin meneruskan perjuangan dalam saingan Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2026 di Jakarta hari ini.
Beregu ranking ke-20 dunia itu melepasi pusingan pertama kejohanan berstatus Super 500 berkenaan selepas menewaskan gandingan Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Benyapa Aimsaard 13-21, 21-6, 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan.
Menanti mereka di pusingan kedua, sama ada beregu China Guo Xin Wa-Chen Fang Hui atau Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh dari Taiwan.
Sementara itu, perjuangan satu lagi beregu campuran negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing terhenti di pusingan pertama.
Jimmy-Pei Jing tewas kepada gandingan tuan rumah, Dejan Ferdinansyah-Bernadine Anindya Wardana 10-21, 17-21.- Bernama