Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Tenunan Takdir
  • WBS

Tenunan Takdir

Utusan Sarawak 6 hours ago

TIADA sesiapa yang tahu. Sebelum legenda dua gunung berdiri membisu itu tersebar bak angin yang ditiup ke seluruh tanah, hidup seorang gadis penenun bernama Kana. Tangannya kecil, mulus tetapi lincah.

Benangnya boleh menjadi saksi cara manusia hidup. Tenunan kain yang membalut tubuh penduduk menyimpan kisah-kisah pemakainya.

Kana bukanlah seorang yang ternama. Bukanlah bangsawan, mahupun seorang hamba. Dia hanya merupakan gadis biasa dari Kampung Pasir Putih yang hidup sebatang kara. Demi mencari rezeki untuk dirinya seorang, dia menenun kain. Bukan sekadar sebagai hobi. 

Pada suatu hari, datanglah khabar bahawa dua puteri dari seberang laut akan bersemayam di tanah itu. Santubong dan Sejinjang. Dua gadis jelita yang dikatakan turun dari kayangan.

 “Mereka anak dewa,” kata orang kampung. “Turun membawa kemakmuran.”

Kana tahu, tiada darah dewa yang mengalir dalam nadi manusia. Menurutnya, mana mungkin perkara sebegitu wujud. Kana percaya bahawa mereka hanya gadis biasa seperti dirinya.

Mereka digelar anak dewa kerana rupa paras mereka yang sangat cantik bak bidadari. Malah bukan hanya paras rupa, tetapi kebijaksanaan dan darjat mereka yang membuatkan penduduk kampung melebih-lebih menyanjung sehingga lupa berpijak di bumi nyata.

Kana tidak iri. Dia ingin melihat wajah cantik dan manis kedua-dua gadis itu. Tambahan, salah seorang daripada mereka mahir menenun.

Khabar angin itu hasil daripada mulut orang kampung. Entah benar atau tidak, ia membuatkan Kana lebih ingin mengetahui. Baginya, tiada salah memandang kecantikan asalkan tidak menanam rasa iri di hati.

Mungkin, dengan melihatnya sendiri, dia akan mengetahui definisi kecantikan anak dewa seperti yang diperkatakan oleh orang kampung.

Ketika rombongan dua gadis itu tiba, seluruh kampung diselimuti harum bunga cempaka dan bunyi seruling mendayu. Waktu seolah-olah terhenti. Rupa paras mereka benar-benar cantik. Kelihatan sempurna.

Fitur wajah mereka juga terletak elok dan harmoni. Manis wajah mereka. Maka dari itu, Kana sedar bahawa kecantikan mereka bukanlah seperti manusia kebanyakan. Ia nyata, bagaikan bulan dipagari bintang.

Santubong berwajah tenang. Tutur katanya lemah lembut dan bijaksana. Sejinjang pula seorang yang periang dan tegas. Mereka berdua diamanahkan untuk menjaga kampung.

Santubong menjaga Kampung Pasir Putih manakala Sejinjang menjaga Kampung Pasir Kuning. Bukan itu sahaja, Santubong dan Sejinjang akan menjadi guru untuk kampung jagaan masing-masing.

Kana berasa gembira kerana khabar yang menyatakan bahawa salah seorang daripada mereka mahir menenun itu benar dan merupakan guru kampungnya. Gadis itu ialah Santubong.

Kana meneliti wajah Santubong. Kecantikannya bukan sahaja boleh membuatkan para jejaka terpesona tetapi para wanita juga. Tidak hairanlah dia dikiaskan sebagai anak dewa kerana parasnya yang bening dan tutur katanya seindah lagu.

Setiap pagi, Kana menenun di serambi istana sambil diperhatikan lembut oleh Santubong. “Benang yang baik ialah benang yang disulam dengan sabar bukan tergesa. Seperti hati manusia juga. Kalau diikat dengan nafsu, pasti putus di tengah jalan.” kata Santubong. Kata-kata itu melekat di jiwa Kana, menjadi azimat dalam setiap helai tenunannya.

Tenunan kain Kana semakin kemas, halus, dan cantik. Benangnya seolah-olah disulam dengan ketekunan dari hatinya. Menyedari akan perkara itu, Santubong tersenyum lembut.

Katanya, sudah tiba masa Kana mengenal dunia luar dan mengenal hati manusia. Selama ini, tangan Kana hanya menenun kain, belum lagi menenun pengalaman.


“Kana, benangmu sudah cukup halus. Kini pergilah. Bawa kain ini dari kampung ke kampung dan melihat dunia. Kain ini bukan dijual tetapi untuk menurunkan ilmu yang telah menjadi darahmu.”

Kana tunduk hormat, bibirnya mengukir senyuman semanis madu. Kain-kain tenun disimpan rapi dalam balutan sutera lembayung. Dengan berat hati, dia melangkah keluar dari tanah kelahirannya, meninggalkan gurunya yang baginya umpama lilin yang tidak pernah padam.

Setiap langkah terasa berat seolah-olah ada sesuatu yang menarik kakinya ke tanah dan berpatah semula. Namun apakan daya. Dia tahu bahawa perjalanan itu bukan sekadar perjalanan biasa tetapi untuk menjadi manusia yang baik.

Dalam perjalanan, Kana tiba di sebuah hutan yang sunyi. Di hutan itu, duduk seorang lelaki tua berpakaian lusuh di sebuah pondok usang. Tangannya menggigil meminta belas kasihan. Wajahnya dipenuhi dengan garis usia.

Kusam, cekung, dan dilingkari kesuraman yang panjang. Kana terpaku seketika. Hatinya disentuh rasa hiba seperti benang halus yang tersangkut pada duri.

Tanpa ragu, Kana membuka uncang kecilnya yang hanya tinggal beberapa syiling perak iaitu hasil tenunannya yang lama. Dia hulurkan juga ubi kayu rebus yang dibawanya sebagai bekalan dan salah satu kain tenun dari balutan sutera lembayung itu untuk menggantikan pakaian usang lelaki tua itu.

Lelaki itu tersenyum, tetapi sebaik sahaja Kana berpaling, lelaki itu melarikan diri, membawa sekali wang, dan segala bekalan makanannya.

Kana terduduk. Dadanya perit. Bukan kerana kehilangan harta, tetapi kejujuran yang dikhianati. Nasib baik, kain tenun yang dibaluti sutera lembayung itu tidak dilarikan, masih di sisinya.

Dia memeluk erat kain itu dengan kelegaan yang tenang. Wajahnya hiba, bukan kerana kesedihan tetapi kerana sedar bahawa dunia luar tidak seindah benang yang tersusun rapi di alat tenunnya.

Ada kusut yang tidak dapat dileraikan melainkan perlu ulang semula prosesnya. Dalam kejadian malang itu, Kana sempat teringat pesan gurunya, “Berbuat baiklah tetapi jangan sampai kebaikanmu dipijak.”

Maka dengan itu, Kana bangkit dan memaafkan si tua yang menipu. “Mungkin dia lapar dan lebih terdesak daripada aku,” bisiknya dengan sangkaan baik. Baginya, yang lepas biarlah lepas seperti daun yang gugur tidak akan kembali ke dahan.

Beberapa hari kemudian, Kana tersesat di hutan yang berkabus. Dalam keadaan penglihatannya yang samar-samar, dia terlihat figura seorang lelaki. Seorang jejaka muda dan tampan. Matanya jernih, bibirnya merah jambu lembut tetapi sunyi menjadi bahasanya. Dia hanya berkomunikasi melalui gerak tangan dan senyumannya. Bisu.

Jejaka itu membantu Kana mencari arah keluar, melindunginya ketika malam tiba. Saat unggun api menyala, dia mematahkan ranting, membakar ubi lalu meletakkannya di hadapan Kana. Setiap kali Kana keletihan, dia hulurkan tangan. Riak wajahnya seakan-akan menyatakan “Tidak mengapa. Aku ada.”

Kana mula berasa tenang bersamanya walau tanpa suara. Setiap senyuman lelaki itu menjadi seperti cahaya kecil dalam kabus hutan yang tebal. Hatinya bergetar dengan rasa yang tidak tahu namanya. Mungkin kasih, mungkin simpati, atau mungkin sesuatu yang lebih halus daripada cinta itu sendiri. Hatinya seakan mengerti setiap pandangan mata jejaka itu.

Pagi terakhir menyapa. Jejaka itu sudah tiada. Hilang, meninggalkan hanya makanan hangat dan buah-buahan. Udara hutan terasa lebih sunyi daripada biasa. Kana hanya mampu tersenyum hiba.

 “Dia tidak berkata apa-apa, tetapi telah mengajarku satu perkara… iaitu bahawa tidak semua kasih perlu diungkapkan dengan kata-kata. Cukup dengan perbuatan,” bisiknya dan terus berjalan, membawa kenangan itu di dalam hati.

Perjalanannya berakhir di sebuah istana besar. Di situ, seorang gadis bangsawan memanggilnya setelah mendengar cerita mengenai gadis penenun dari Pasir Putih yang juga merupakan anak didik Santubong.

Gadis itu berwajah lembut tetapi angkuh. Kulitnya cerah bersih bagaikan porselin, dengan lesung pipit halus yang muncul setiap kali dia tersenyum sinus. Kecantikannya bagai bunga berduri. Indah dipandang, tetapi tajam yang melukakan.

“Bawakan aku kainmu,” titah bangsawan itu.

Perlahan-lahan Kana membuka balutan kain lembayung itu. Setiap lipatan disentuh dengan cermat dan kasih.

Kain itu bersinar lembut di bawah cahaya bulan purnama seolah-olah menyimpan rahsia tangan yang menenunnya. Akan tetapi, gadis bangsawan itu memandangnya dengan jijik, lalu dia mencemuh.

“Inikah hasil seorang murid puteri? Terlalu sederhana. Tiada emas, tiada permata,” katanya dengan nada merendah-rendahkan.

Kana menunduk, menggigit bibir bawahnya. Hatinya terasa perit. Rasa malu dan hampa berbaur menjadi satu. Dia tidak marah, cuma sedih.

Sedih kerana hasil yang ditenun dengan kasih dianggap tidak berharga. “Kain ini… bukan untuk dikagumi, tetapi untuk difahami.”

Gadis bangsawan itu ketawa kecil. “Fahamkan diri dahulu sebelum mengajar makna kain,” katanya sinis, lalu mengusir Kana keluar dari istana.

Kana hanya mampu menunduk. Belum sempat dia membuka bicara tentang rahsia tenunan kain itu, istana tertutup rapat bersama semangat dan harapannya. Kana tersenyum tawar.

“Maka benarlah kata guruku. Yang bermegah dengan harta tidak akan nampak nilai tangan manusia.”

Bulan berganti musim. Kana akhirnya pulang ke Pasir Putih dengan hati yang penuh kisah. Dia tidak sabar ingin bercerita kepada gurunya mengenai pengembaraannya. Mengenai kebaikan yang dikhianati, kasih tanpa suara, dan keangkuhan manusia yang berbalut kemewahan.

Pengalaman itu membuatkan Kana merenung jauh ke dalam diri iaitu bahawa dunia luar tidak seindah yang dibayangkan tetapi dari situlah manusia belajar menjadi lebih cekal dan berhati-hati.

Sebaik tiba di tanah kelahirannya, kampung itu sunyi. Istana telah rebah. Orang kampung berbisik-bisik mengenai peristiwa yang baru melanda mereka. Bisikan mereka ibarat angin yang membawa maut.

Perlahan, tetapi cukup untuk menggoncang hati yang mendengar. Kana mula resah. Langkahnya terhenti apabila mendengar peristiwa itu. Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang bertelingkah kerana cinta seorang putera. Peristiwa itu berakhir dengan kematian yang mengerikan.

Ia bukan sekadar amarah. Ia menjelma menjadi dendam yang memakan kasih hingga darah sendiri menjadi pewarna bumi.

Malam itu, tanah berbau besi, menjadi saksi dan bukti tragedi tersebut. Ada yang berkata, wajah salah seorang puteri itu hancur, dagingnya terburai ke tanah.

 Ada juga kata-kata bahawa terlihat aluk yang berlumuran dengan darah di tanah itu. Remuk hati Kana yang mendengarnya.

Peristiwa itu terlalu mengerikan untuk disebut. Maka orang-orang kampung menapis kisah tersebut sehingga kisah itu menjadi lagu yang berpindah dari lidah ke lidah untuk dijadikan pengajaran.

Tragedi itu bukan sekadar kisah bertelingkah kerana cinta tetapi lambang manusia yang tewas akan perasaan sendiri. Kisah itu bukan sekadar cerita semata-mata. Ia seakan cermin yang memantulkan kembali perjalanan hidupnya sendiri.

Jika takdir pertama mengajar Kana tentang kebaikan berpada-pada. Jika takdir kedua adalah tentang memahami tanpa suara. Jika takdir ketiga memperlihat keangkuhan manusia… maka, takdir keempat ini mengajarnya bahawa cinta juga mampu menjadi bisa yang menumpahkan darah.

Segala takdir terjalin menjadi satu tenunan besar. Takdir yang telah memberi erti hidup kepada Kana.

Oleh Dayangku Nabila

Continue Reading

Previous: Bisik Angin di Telinga Sunyi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.