
KUCHING: Pelaksanaan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) oleh kerajaan terus memberi impak positif bukan sahaja kepada penerima bantuan, malah turut membantu peniaga makanan kecil meningkatkan hasil jualan mereka.
Tinjauan Bernama di sekitar kawasan perumahan dan gerai makanan di sini mendapati kebanyakan peniaga mencatatkan peningkatan jumlah pelanggan setiap kali bantuan tersebut disalurkan kepada rakyat.
Peniaga laksa Sarawak di kawasan Semariang, Noraini Othman, 49, berkata jualan hariannya meningkat hampir 20 peratus setiap kali selepas bantuan STR diagihkan.

“Biasanya pelanggan hanya membeli atau makan di kedai sahaja, tetapi sekarang ada yang mampu menambah lauk dan minuman. Ini memang membantu peniaga kecil seperti kami untuk mendapatkan lebih jualan,” katanya.
Peniaga nasi campur di Matang, Hajijah Latip, 63, yang juga penerima STR berkata bantuan berkenaan memberi kesan limpahan yang ketara kepada perniagaannya.
Apabila orang ramai mempunyai sedikit lebihan wang, mereka tidak berkira untuk membeli makanan tengah hari atau juadah petang. Jualan juga cepat habis dan kami amat bersyukur dengan rezeki yang diberikan kerajaan,” katanya sambil menambah bantuan itu memberi suntikan modal kepada gerai makannya yang telah beroperasi sejak enam tahun lepas.
Sementara itu, penerima STR, Pangeran Saleh Sulaiman, 68, berkata bantuan tunai itu sememangnya meringankan beban kos sara hidup serta membolehkannya mengurus perbelanjaan keluarga dengan lebih baik.
Selain itu, beliau juga menyambut baik penyaluran bantuan itu yang membantu menggerakkan ekosistem perniagaan kecil di kawasan setempat.
“Melalui aplikasi WhatsApp, peniaga saling berkongsi harapan supaya STR dapat disalurkan secepat mungkin untuk modal membeli barangan basah untuk berniaga,” katanya yang memiliki beberapa gerai nasi ayam di sekitar Bandar Baru Semariang, di sini.
Kerajaan MADANI hari ini mula menyalurkan pembayaran STR Fasa 1 Tahun 2026 yang melibatkan lima juta penerima, merangkumi 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 dan RM500 mengikut kelayakan masing-masing.- Bernama