Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • ADUN Tamin sokong titah Agong, gesa MA63 dilaksanakan sepenuhnya
  • TEMPATAN

ADUN Tamin sokong titah Agong, gesa MA63 dilaksanakan sepenuhnya

Utusan Sarawak 5 hours ago
 AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang.

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia adalah berpaksikan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata pelaksanaan MA63 secara menyeluruh bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan kewajipan perlembagaan yang perlu ditunaikan demi keadilan kepada Sabah dan Sarawak serta pengukuhan perpaduan negara.

“Sebagai wakil rakyat dari Sarawak, saya ingin menegaskan bahawa banyak hak yang dipersetujui dalam MA63 masih belum ditunaikan sepenuhnya walaupun lebih enam dekad Malaysia dibentuk,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Gira yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, kegagalan melaksanakan MA63 dengan jujur dan berintegriti hanya akan menghakis keyakinan, khususnya dalam kalangan generasi muda terhadap masa depan negara.

Menurut beliau, kebangkitan suara generasi muda dalam menuntut hak Sabah dan Sarawak bukan bertujuan memecah-belahkan negara, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab untuk mempertahankan maruah, kedudukan serta masa depan wilayah itu dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau percaya pelaksanaan MA63 sepenuhnya mampu memperkukuh perpaduan nasional, meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem Persekutuan serta menjamin pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar mengurus perbezaan pandangan secara matang, berhemah dan berlandaskan Perlembagaan tanpa hasutan, kebencian atau prasangka.

“Pemuda PRS akan terus komited memperjuangkan MA63 secara berperlembagaan, berfakta dan berhemah demi memastikan keadilan, keharmonian serta kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa asas pembentukan Malaysia adalah melalui MA63 yang telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara, selain menggesa agar semangat perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara negeri-negeri serta Kerajaan Persekutuan terus dipelihara.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat supaya tidak menghasut sehingga mencetuskan ketegangan antara wilayah, sebaliknya menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara matang tanpa kebencian atau syak wasangka.

Dalam titah yang sama, Sultan Ibrahim menegaskan hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati, namun kepentingan Malaysia secara keseluruhan hendaklah terus diutamakan, di samping memberi perhatian serius terhadap ancaman keselamatan moden termasuk jenayah berat, keganasan serta isu melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Pereka fesyen Itali Valentino Garavani meninggal dunia pada usia 93 tahun
Next: MA63 hak perlembagaan, bukan politik murahan – Rodiyah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.