

KUCHING: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah kereta jenis Honda Civic terbabas dan terjunam ke dalam parit sedalam sekitar 9.14 meter dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Penrissen, Batu 8, di sini, lewat malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.35 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa tiba di lokasi pada 11.42 malam.
“Kemalangan melibatkan dua mangsa lelaki dewasa yang terhumban keluar dari kenderaan akibat impak kejadian.
“Mangsa pertama berusia 23 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak oleh ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Mangsa kedua berusia 51 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak ambulans KKM,” katanya.
Mengulas lanjut, operasi menyelamat diketuai PBK II Awang Iskandar Rashid Awang Seruji bersama enam anggota bomba, dengan kedua-dua mangsa berjaya dibawa naik ke tebing jalan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak perubatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.10 pagi Ahad selepas keadaan disahkan selamat, dengan bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.
Oleh Shikin Mahmud