
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor baru-baru ini telah berkesempatan menghadiri Program Sesi Dialog 9 Tahun Bersama Premier Sarawak, satu platform tahunan yang memberi peluang kepada rakyat untuk mendengar secara langsung perkongsian dan amanat Premier mengenai hala tuju strategik negeri.
Dayang Noorazah berkata, sepanjang sembilan tahun menerajui negeri ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menunjukkan kepimpinan berwawasan, tegas, dan berani.
Dalam tempoh tersebut, beliau berjaya menjadikan Sarawak antara negeri paling progresif di Malaysia dari segi pembangunan digital, ekonomi, sosial, dan infrastruktur.
Menurut Dayang Noorazah, pencapaian ini bukan sekadar angka atau projek semata-mata, tetapi mencerminkan perubahan nyata dalam kehidupan rakyat Sarawak yang dapat dirasai setiap lapisan masyarakat.
Dalam bidang pendidikan, Sarawak kini berada di landasan yang membolehkan pelajar menikmati pendidikan tinggi percuma bermula tahun ini. Langkah ini dirancang untuk melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan mampu bersaing di peringkat global.
Dalam aspek tenaga dan alam sekitar, Sarawak semakin menonjol sebagai peneraju sektor tenaga boleh diperbaharui. Pembangunan ekonomi hijau kini menjadi tunjang kepada strategi negeri, sejajar dengan agenda global untuk kelestarian dan pengurangan karbon.
Transformasi digital juga menjadi keutamaan pentadbiran Premier. Ia bukan sekadar pengenalan teknologi baharu, tetapi melibatkan perubahan budaya kerja, sistem komunikasi, serta pembinaan infrastruktur yang menyokong ekosistem digital yang mantap.
Pelaburan dalam sektor industri baharu telah membuka peluang pekerjaan berkualiti untuk golongan muda. Projek-projek strategik yang dilaksanakan membolehkan generasi muda mengambil bahagian secara aktif dalam ekonomi moden Sarawak.
Sesi dialog malam tersebut turut menekankan bahawa pembangunan Sarawak adalah inklusif dan mampan. Keputusan dan dasar yang diambil sentiasa mengambil kira suara rakyat, demi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Abang Johari turut menegaskan bahawa kepimpinan berwawasan dan keberanian dalam membuat keputusan adalah kunci kepada kejayaan negeri sepanjang sembilan tahun ini. Pendekatan ini membolehkan Sarawak mengekalkan momentum pembangunan walaupun dalam tempoh cabaran global dan domestik.
Sebagai negeri yang terus maju dan makmur, Sarawak hari ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam mengurus pembangunan dengan bijaksana, bersandarkan aspirasi rakyat dan visi jangka panjang.
Segulai Sejalai, Sarawak terus melangkah ke hadapan dengan semangat perpaduan, inovasi, dan ketegasan dalam kepimpinan. Sesi dialog ini memperkukuh komitmen negeri untuk terus mendengar suara rakyat dan memacu pembangunan strategik yang mampan.
Oleh Adi Safarman