
KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatatkan dua kejayaan besar melalui Op Taring Chiller, dengan jumlah rampasan bernilai RM11.1 juta dalam operasi yang dijalankan di Daerah Kuching dan Miri, semalam.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai, berkata kejayaan pertama dicapai di daerah Kuching hasil serbuan oleh Cawangan Risik Batalion 11 PGA Kuching ke atas dua premis berasingan.
“Lelaki tempatan berumur 38 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan produk sejuk beku tanpa dokumen atau permit sah.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan lebih 116,000 kilogram (kg) produk sejuk beku termasuk daging babi, ayam dan lembu, selain pelbagai peralatan pemprosesan makanan, kemudahan stor sejuk beku, serta jentera industri,” katanya.
Beliau menambah bahawa nilai rampasan bagi operasi di Kuching sahaja dianggarkan berjumlah RM9.59 juta.

Kejayaan kedua dicatatkan di Miri apabila Cawangan Risik Batalion 12 PGA Miri menjalankan serbuan ke atas dua premis berasingan.
“Dalam operasi tersebut, dua individu tempatan ditahan, lelaki berumur 60 tahun dan wanita berumur 51 tahun. Pasukan turut merampas lebih 40,000 kg pelbagai produk sejuk beku, dua stor sejuk beku, serta jentera pengangkat (forklift), dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.55 juta,” jelas beliau.
Semua tangkapan dan rampasan daripada kedua-dua operasi telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 9, subseksyen 1, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Lim menegaskan bahawa PGA Sarawak akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran produk makanan yang tidak mematuhi peraturan, khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan makanan, kesihatan awam, dan kepentingan pengguna.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti haram, demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Oleh Connie Chieng