Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Semua keputusan perolehah ATM, PDRM terkait isu rasuah dibekukan sementara – PM Anwar
  • NASIONAL

Semua keputusan perolehah ATM, PDRM terkait isu rasuah dibekukan sementara – PM Anwar

Utusan Sarawak 5 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemu bual pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Semua keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

“Saya berterima kasih kerana Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kenyataan yang sangat jelas berkenaan perkara ini.

“Kita akan ambil perhatian dan menunggu laporan untuk meneliti sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan, supaya proses dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dilaporkan merancang rombakan besar-besaran pelan antirasuah tahun ini, termasuk menyemak semula keseluruhan proses tender dan perolehan selaras amalan terbaik tadbir urus.

Usaha itu bertujuan membanteras ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan wibawa institusi pertahanan negara.

Pada 7 Januari lepas , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan dua isterinya berkaitan projek perolehan Tentera Darat selain menyita barangan bernilai RM11.4 juta hasil risikan di dua lokasi, iaitu di sebuah rumah di Kuala Lumpur dan satu lagi di Besut, Terengganu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata tindakan tegas dan menyeluruh SPRM itu memastikan rakyat tidak menanggung kesan negatif, termasuk terhadap kemajuan ekonomi negara.

Beliau berkata selain SPRM, kerajaan turut memberi ruang penuh kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk bertindak, dan kejayaan usaha ini memerlukan tekad politik serta kerjasama rakyat secara menyeluruh.

Perdana Menteri berkata dari segi dasar, kerajaan tidak campur tangan dalam urusan penyiasatan, namun menegaskan rasa tidak senang terhadap perkembangan kes dan isu rasuah, yang menuntut tindakan tegas dan menyeluruh daripada agensi penguatkuasaan. 

“Kalau RM10 juta atau RM20 juta diambil cara tidak sah, jumlah itu sepatutnya digunakan untuk kerja pasukan tentera atau projek-projek kecil.

“Kita tidak senang dengan perkembangan ini, dan jika tiada tindakan tegas menyeluruh, kita akan menanggung bala dan kesan buruk terhadap ekonomi rakyat,” katanya.

Anwar menekankan bahawa kefahaman rakyat mengenai usaha membanteras rasuah perlu diperluaskan kepada walaupun ada tindakan diambil, masih ada pihak yang memandang ringan isu itu.

“Ada suara-suara yang mempertahankan… di Parlimen misalnya, apabila tindakan diambil terhadap bekas menteri yang memiliki kekayaan berbilion, kadang-kadang disinggung dan disanggah.

“Ini bukan untuk didukung atau diberikan kerjasama. Budaya buruk dan merosakkan ini harus diperbaiki segera,” tegasnya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Kementerian teliti semula keputusan berkaitan jumlah pengguna media sosial – Fahmi
Next: SARA bulanan kategori bujang bermula hari ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.