

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) menyita sejumlah besar buah durian yang dijual tanpa kebenaran dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan bermula Selasa lalu hingga hari ini di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan MBM, sitaan tersebut dibuat terhadap peniaga yang didapati menjalankan aktiviti jualan durian tanpa mematuhi peraturan serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan yang berkuat kuasa.
“Pihak majlis memaklumkan bahawa sebelum operasi sitaan dilaksanakan, amaran secara bertulis serta tindakan kompaun telah dikeluarkan lebih awal kepada para peniaga terlibat bagi memberi peluang kepada mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Langkah ini bertujuan mengelakkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil terhadap peniaga yang ingkar,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MBM turut menyediakan lokasi khas jualan durian di Pujut Corner sebagai inisiatif membantu peniaga menjalankan perniagaan secara teratur, selamat dan sah.
Namun begitu, masih terdapat peniaga yang gagal memberikan kerjasama dengan terus berniaga di lokasi yang tidak dibenarkan.
Sehubungan itu, MBM menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan, selain menjaga keselamatan pengguna, kebersihan persekitaran dan kelancaran lalu lintas di bandar raya ini.
MBM turut menggesa semua peniaga durian supaya memberi kerjasama sepenuhnya, mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan hanya menjalankan perniagaan di lokasi yang dibenarkan demi kepentingan bersama serta kesejahteraan bandar raya.
Oleh Liong Chai Ling