PUTRAJAYA: Buat pertama kali dalam sejarah, umat Islam akan menyambut Ramadan dalam era new normal atau kebiasaan baharu susulan wabak Covid-19 yang melanda dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
Menegaskan bahawa ibadah dan tradisi Ramadan kini adalah di rumah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan new normal yang dimaksudkan itu adalah tiada solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan solat tarawih berjemaah di masjid dan surau bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan.
“Tidak ada juga majlis berbuka puasa di masjid dan surau dalam tempoh PKP, begitu juga moreh selepas selesai solat tarawih. Alternatifnya hidupkan ibadah dan tradisi Ramadan kita di rumah.
“Kita semua hendak beribadah dalam Ramadan sebagaimana sedia kala kerana ia adalah usaha memelihara agama (hifz aldin) dalam maqasid al-syariah. Namun, memelihara nyawa (hifz al-nafs) juga adalah penting ketika ini,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen semalam.
Zulkifli, yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, rakyat perlu sentiasa positif dan bersyukur meskipun agar sukar untuk membiasakan diri dengan kebiasaan baharu dalam menjalani ibadah puasa pada kali ini.
Justeru, beliau menyeru orang ramai sentiasa positif dan bersyukur kerana terdapat orang lain sedang bergelut dengan kehidupan mereka.
“Positif dan sentiasa bersyukur. Itulah tema bagi Madrasah Ramadan pada diri saya bagi tahun ini. Someone, somewhere, right now is fighting for his or her life. You still have yours, so be thankful and spend it in the obedience of Allah,” katanya.
Zulkifli berkata, beliau secara peribadi mahukan Ramadan yang terbaik untuk umat Islam di negara ini dan bersyukur kerana orang ramai memahami dan bersama-sama berjuang memutuskan rantaian wabak Covid-19.
Beliau berkata, semoga dengan ketibaan Ramadan pada kali ini akan menatijahkan taqwa dalam hati sanubari kita sehingga mendapat mardhatillah (mendapat reda Allah) yang akhirnya melayakkan kita menjadi hamba yang rabbani (hamba yang berjaya menurut ajaran Islam).
Zulkifli turut memberi kata-kata semangat kepada petugas barisan hadapan agar lebih kuat dalam menjalani ibadah puasa serta menjalani tanggungjawab kepada negara demi memastikan kesejahteraan seluruh rakyat
“Kepada frontliners, sesibuk mana pun anda, jangan lupa untuk bersahur kerana ia barakah. Anda perlu kuat untuk kami, demi negara. Saya yakin, dengan Ramadan new normal ini, kita boleh sama-sama laksanakannya. Jangan lupa doakan untuk Malaysia,・ katanya.
Menjangkakan bahawa kemungkinan ada yang kepenatan bekerja, terutamanya petugas barisan hadapan, Zulkifli berkata ibadah puasa adalah wajib mengikut kemampuan.
“Tapi, diharuskan berbuka puasa apabila tidak mampu melaksanakan puasa sepanjang hari tersebut atau dikhuatiri sekiranya meneruskan ibadah puasa akan menjejaskan fokus dan kemampuannya untuk merawat pesakit,” katanya.
Mengingatkan umat Islam bahawa Ramadan adalah bulan ujian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata adalah penting bagi mereka menjaga akhlak dan tutur kata dan sentiasa sabar dalam menghadapi rutin seperti kepenatan beratur di pasar raya dan keletihan menunggu dalam kereta semasa melalui sekatan jalan raya.
Meskipun tiada bazar Ramadan, yang menjadi tumpuan rakyat majmuk Malaysia, Zulkifli berkata umat Ramadan kali ini mungkin menjadi permulaan mencipta juadah dan menu baharu untuk dinikmati bersama keluarga selain menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan atau e-hailing bagi restoran makanan segera.
“Encik Ali boleh tempah Nasi Arab, sedekahkan kepada Ah Chong. Auntie Tan boleh tempah KFC, sedekahkan kepada Puan Wani. Encik Nordin boleh tempah Nasi Kerabu, sedekahkan kepada Uncle Muthu. Ramadan adalah bulan sedekah dan berkongsi kegembiraan dengan sesiapa sahaja di sekeliling kita. Cuma, ingatan saya kepada rakyat Malaysia untuk tidak membazir. Makan dan minumlah seadanya,” katanya. – BERNAMA