

TATAU: Seramai 330 penduduk dari beberapa penempatan yang terputus hubungan di Daerah Tatau menerima bantuan makanan menerusi operasi penghantaran yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau, semalam.
Menurut satu kenyataan, bantuan berkenaan dihantar dalam dua sesi iaitu pada 10.00 pagi dan 2.00 petang serta diserahkan secara berpusat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Annau.
Penduduk yang menerima bantuan terdiri daripada 164 orang dari Rumah Pada Selan, Rumah Daniel Mungking (48), Rumah Robert Nyembong (30), Rumah Thomas Sylvester Kunsil (27), Rumah John Asan (25), Rumah Win Telajan (22), Rumah Empaling Bu (4) serta SK Kuala Annau (10).
Penghantaran bantuan makanan itu dilaksanakan menggunakan pengangkutan darat melibatkan pelbagai agensi termasuk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Daerah Tatau, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua bantuan disampaikan dengan sokongan anggota daripada Polis Draja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), BDA, UKPS dan Pejabat Daerah Tatau bagi memastikan kelancaran operasi.
Bantuan makanan tersebut dibawa ke SK Kuala Annau sebelum penduduk membawa pulang bekalan ke kediaman masing-masing menggunakan perahu persendirian berikutan keadaan laluan yang masih terjejas.
JPBD Tatau akan terus melaksanakan operasi bantuan dan pemantauan bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan terputus hubungan sentiasa diberi perhatian.
Oleh Carolyne Utih