

MIRI: Pendidikan terus menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting khususnya dalam memastikan sekolah di kawasannya menerima sokongan berterusan serta kemudahan yang lebih baik.
Beliau berkata demikian semasa lawatan ke Sekolah Agama Rakyat yang terletak di tengah bandar raya Miri pagi tadi.
Menurutnya, walaupun sekolah tersebut merupakan sekolah agama, ia tetap sebuah institusi penting dalam kawasan Piasau dan wajar diberi perhatian serta sokongan.
Dalam lawatan tersebut, Ting turut diiringi wakil Jabatan Kerja Raya serta kontraktor bagi meninjau kemajuan projek Program Transformasi Luar Bandar yang dibiayai di bawah peruntukan Bajet 2024. Projek yang bermula pada Oktober 2025 itu kini mencapai 40 peratus kemajuan.
Beliau menjelaskan baki 60 peratus kerja akan diteruskan selepas kerja struktur dan fabrikasi disiapkan.
Setelah siap sepenuhnya, sekolah berkenaan akan mempunyai sebuah dewan serbaguna baharu yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti serta mengurangkan keperluan menyewa kanopi atau kemudahan luar, sekali gus menurunkan kos operasi.
Menurut beliau, pelaburan dalam pendidikan amat penting kerana setiap ibu bapa mahukan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan lengkap untuk anak anak mereka.
Jumlah peruntukan yang diluluskan bagi projek ini ialah RM150,000 dan beliau berharap keadaan cuaca yang baik dapat memastikan pembinaan siap mengikut jadual.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pihak pengurusan sekolah serta para pelajar, sambil menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan dan kemajuan sekolah tersebut.