
KOTA SAMARAHAN: Pihak Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menerusi Pasukan LA Serve MPKS telah melaksanakan Operasi Pembersihan Struktur Gerai Penjaja yang terbiar dan rosak di kawasan Taman Desa Ilmu, di sini, semalam.
Operasi berkenaan dilaksanakan sebagai langkah proaktif pihak majlis bagi memastikan kebersihan persekitaran awam, keindahan landskap serta tahap keselamatan dan keselesaan penduduk setempat sentiasa terpelihara.
Menurut pihak MPKS, tindakan pembersihan ini melibatkan struktur gerai yang tidak lagi digunakan, uzur atau terbiar dalam tempoh yang lama sehingga berpotensi menjejaskan imej kawasan, mengundang risiko keselamatan serta menjadi punca pencemaran persekitaran.

“Semua struktur dan barangan yang dirampas sepanjang operasi ini akan dilupuskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan, selaras dengan peraturan dan garis panduan pihak berkuasa tempatan,” jelas kenyataan pihak MPKS.
Dalam pada itu, pihak majlis turut menggesa para peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan perniagaan, memanfaatkan peluang berniaga yang diberikan secara bertanggungjawab, serta mematuhi piawaian penyediaan makanan yang selamat, bersih dan berkualiti.
Pihak MPKS menegaskan bahawa kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, ceria dan selamat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat. -UKAS