Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Suhu serendah 18 darjah celsius, penduduk Dungun teruskan aktiviti harian seperti biasa
  • NASIONAL

Suhu serendah 18 darjah celsius, penduduk Dungun teruskan aktiviti harian seperti biasa

Utusan Sarawak 6 hours ago
PEMANDANGAN berkabus ekoran cuaca sejuk yang melanda di sekitar Kampung Pasir Raja hari ini. Pengarah Jabatan Meteorologi Terengganu Rabiah Al Adawiah Zakaria berkata fenomena cuaca sejuk yang melanda negeri ini berpunca daripada kehadiran luruan sejuk semasa Monsun Timur Laut (MTL). Beliau berkata suhu yang direkodkan di Stesen Meteorologi Dungun pada pukul 7.00 pagi hari ini ialah 20 darjah Celsius. Foto BERNAMA

DUNGUN: Penduduk di daerah Dungun terutama di kawasan luar bandar kini merasai suhu yang agak luar biasa terutama pada waktu pagi sejak beberapa hari kebelakangan ini. 

Malah, suhu sejuk antara 18 hingga 20 darjah Celsius itu menyaksikan penduduk terpaksa memakai jaket tebal bagi memanaskan badan.  

Tinjauan Bernama di Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun di sini yang bersempadan dengan Jerantut, Pahang pada pagi tadi mendapati keadaan persekitaran berkabus, namun penduduk menjalankan aktiviti mereka seperti biasa.

MURID-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja hadir ke sekolah dengan mengenakan baju sejuk berikutan suhu rendah yang direkodkan sejak awal sesi persekolahan. Guru Besar SK Pasir Raja, Mohd Nor Azizi Kamarudin berkata, suhu sekitar 18 hingga 20 darjah Celsius direkodkan pada waktu pagi sejak Ahad lalu, menyebabkan kebanyakan murid yang tidak biasa dengan keadaan tersebut mengenakan pakaian tambahan bagi memanaskan badan. Foto BERNAMA

Selain itu, suasana di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja yang terletak di kampung itu turut kelihatan seumpama berada di Tanah Tinggi Cameron Highlands, Pahang apabila kebanyakan murid hadir ke sekolah memakai baju sejuk. 

Guru Besar SK Pasir Raja Mohd Nor Azizi Kamarudin berkata keadaan cuaca sejuk itu mula dirasai sejak hari pertama persekolahan pada Ahad lepas.

“Kawasan persekitaran kampung berhampiran sekolah juga berkabus pada waktu pagi berikutan penurunan suhu udara,” katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.

KEADAAN jalan yang berkabus ekoran cuaca sejuk yang melanda di sekitar Kampung Pasir Raja hari ini. Foto BERNAMA

Mohd Nor Azizi berkata suhu yang direkodkan di sekolah itu serendah 18 darjah Celsius pada 7 pagi Ahad lepas, manakala pada hari berikutnya kira-kira  20 darjah Celsius.

Berikutan itu, pihak sekolah menggalakkan murid memakai baju sejuk sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kesihatan mereka terjejas.

Bagaimanapun, beliau bersyukur rekod kehadiran semua 43 murid di sekolah itu penuh setakat hari ini.

Seorang murid, Muhammad Fakhril Aryan Mohd Firdaus, 11, berkata ibunya terpaksa bangun awal sepanjang minggu ini dan menjerang air panas untuk dia mandi sebelum ke sekolah.

“Saya tidak boleh mandi menggunakan air paip kerana terlalu sejuk dan sebelum ini tidak pernah mengalami cuaca sesejuk itu,” katanya.

MURID di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja hadir ke sekolah dengan mengenakan baju sejuk berikutan suhu rendah yang direkodkan sejak awal sesi persekolahan. Foto BERNAMA

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang berkata cuaca sejuk di Terengganu sehingga suhu mencecah 18 darjah Celsius sejak Ahad lepas, berpunca daripada kehadiran luruan sejuk pada Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda kawasan Pantai Timur.

Fenomena itu berlaku apabila angin Timur Laut yang berasal dari benua Siberia bergerak ke rantau ini.

“Angin ini pada asalnya bersifat sejuk dan kering, namun apabila melalui Laut China Selatan, ia menyerap wap air dari permukaan laut lalu menjadi lebih lembap. Angin itu dikenali sebagai luruan sejuk,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Chung berkata berdasarkan rekod suhu di Terengganu, cuaca lazimnya kembali kepada biasa antara Februari hingga Mac.- Bernama

Continue Reading

Previous: Agong zahir ucap selamat kepada Sultan Brunei
Next: Kerajaan berhak tarik balik bantuan jika kemuka maklumat tidak tepat – Kementerian Kewangan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.