KUCHING: Sebanyak 16 buah sekolah di negeri ini layak menerima 20 Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) bagi tahun 2018/2019.
Anugerah tersebut adalah anjuran daripada Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Shell Malaysia dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan agensi-agensi lain.
Penyampaian anugerah tersebut akan berlangsung di Miri pada 6 Oktober 2020 dan akan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Untuk makluman, pertandingan tersebut dibuka kepada semua Sekolah Rendah dan Menengah, Kerajaan atau Bantuan Kerajaan, termasuklah Sekolah Agama, Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara di seluruh Sarawak.
Pertandingan tersebut telah dimulakan pada tahun 2004, dan kali ini merupakan sesi ke-9 anugerah ini diadakan.
Tujuan utama anugerah ini diadakan adalah untuk mengiktiraf dan menghargai usaha berterusan yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam mendidik warganya dari segi kesedaran, pengetahuan, sikap positif dan nilai murni alam sekitar serta menjaga dan mengurus alam sekitar dan sumber asli.
Di samping itu, ia selaras dengan matlamat untuk melahirkan golongan muda yang mempunyai pemahaman baik tentang alam sekitar dan mengamalkan budaya hidup yang mesra alam, serta mewujudkan sekolah yang kondusif sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan bagi Anugerah SERASI 2018/2019. Kategori-kategori tersebut adalah Anugerah Khas Bintang SERASI, Anugerah SERASI (Emas, Perak dan Gangsa), Anugerah Harapan, Anugerah Guru SERASI, Ikon murid SERASI dan Anugerah Projek SERASI.
Anugerah Harapan, Ikon murid dan Anugerah Projek SERASI merupakan anugerah yang pertama kali di perkenalkan pada kali ini.
Oleh Jeakqleyn Yacho