SERIAN: Janji Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk melaksanakan projek pembangunan di Bahagian Serian dan seluruh Sarawak bukan hanya janji air liur.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato’ Sri Michael Manyin Jawong, berkata pada masa kini semua projek rakyat yang telah dijanjikan sedang giat dan akan dilaksanakan.
“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu di kawasan Serian, saya selalu mendengar rakyat berkata janji kerajaan negeri ‘janji air liur’.
“Tidak, apa yang dijanjikan bukan janji air liur,” tegasnya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang disempurnakan oleh Ketua Menteri di Dewan SJK Chung Hua, Serian, semalam.
Menurutnya, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri (SDCCM) semalam, pihaknya dimaklumkan hampir semua projek yang diluluskan sedang giat dilaksanakan atau akan dilaksanakan dalam waktu dekat.
“Dalam mesyuarat yang dihadiri Ketua Menteri, wakil-wakil rakyat serta agensi-agensi terlibat, telah diberi taklimat perkembangan pelbagai projek di Sarawak khususnya di Serian.
“Ketua Menteri hendak memastikan semua projek yang diumumkan dilaksanakan dengan teratur dan disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Tambahnya, antara projek terlibat adalah Kompleks Pentadbiran Bahagian Serian yang menelan kos RM130 juta dan akan siap menjelang Mei 2021.
“Selain itu, Pusat Konvensyen Serian dengan kos RM80 juta sedang giat dibina dengan kemajuan pembinaan lima peratus dan pelaksanaan Pejabat Daerah Tebedu juga akan siap pada Disember tahun ini.
“Sementara itu, Serian merupakan satu-satunya kawasan yang mencapai 99.9 peratus liputan bekalan elektrik, manakala bekalan air bersih sekitar 90 peratus.
“Dan lebih menbanggakan adalah Serian kini mempunyai dua jejambat yang sudah siap sepenuhnya dan pasti banyak lagi projek pembangunan akan dilaksanakan selepas ini,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, barisan kabinet negeri dan wakil-wakil rakyat.
Oleh Zarina Abdullah