
SIBU: Seramai 200 peserta telah menyertai Cabaran Pickleball Fun Game Sibujaya anjuran Kelab Pickleball Lanang (LPC) yang berlangsung di Pusat Sukan Azman Hashim, di sini, baru-baru ini.
Menurut Presiden LPC, Daniel Ling, penganjuran acara berbentuk permainan santai itu bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh serta mempromosikan gaya hidup sihat.
“Pickleball merupakan sukan yang inklusif dan sesuai untuk semua peringkat umur. Ia bukan sahaja menggalakkan aktiviti fizikal, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Pertandingan itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut Ling, sambutan menggalakkan terhadap Cabaran Pickleball Fun Game Sibujaya membuktikan sukan itu mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di Sibu.
“Penyertaan yang memberangsangkan ini menunjukkan pickleball mampu berkembang sebagai sukan komuniti dan seterusnya menyumbang kepada usaha mempromosikan kesejahteraan masyarakat serta pelancongan sukan di bandar ini,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
Oleh Tarani Lanting