SERIAN: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal menyokong kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi GPS itu berkata, GPS akan tetap berada di belakang dan menyokong pimpinan Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Seperti yang saya nyatakan semasa ucapan Hari Malaysia di Sibu sebelum ini, kami (GPS) di belakang Muhyiddin,” tegasnya pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan SJK Chung Hua, Serian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mendakwa mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Sementara itu, ditanya mengenai jika terdapat Ahli Parlimen GPS yang menyokong Anwar, Abang Johari menegaskan tiada seorang Ahli Parlimen yang berbuat demikian.
“Tiada dari mereka… saya tidak tahu dari mana beliau (Anwar) mendapat kiraan (sokongan majoriti Ahli Parlimen) berkenaan, tambahan pula presiden-presiden parti komponen GPS seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) juga ada di sini,” tegasnya.
Abang Johari menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai pelik dan tidak tahu tujuan Anwar berbuat demikian pada waktu negeri Sabah sedang mengadakan pilihan raya negeri (PRN).
“Saya tidak tahu kenapa Anwar mengumumkan perkara tersebut hari ini dan dalam masa yang sama Sabah sedang menjalakan PRN dan analisis saya mengenai perkara ini adalah ‘pelik’.
Ditanya adakah GPS ada dihubungi oleh Anwar untuk mendapatkan sokongan itu, Abang Johari berkata tidak ada.
“Tidak, hari ini saya menghadiri mesyuarat di Serian, kalau dahulu semasa krisis negara ada, tetapi bagi kita negara Malaysia mesti mempunyai kerajaan yang stabil dan kuat terutamanya semasa masalah pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Beliau pada masa yang sama turut menafikan situasi politik yang berlaku itu adalah disebabkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak dengan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) Kerajaan Persekutuan menerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada Sarawak.
“Isu SST kita adalah perkara yang berbeza dengan rundingan yang sedang kita buat. Ia adalah tuntutan cukai hasil dari negeri kita dan tiada kaitan dengan rundingan,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar pada sidang media menyatakan beliau juga telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.
“Alhamdulillah kini saya telah dapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli-ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dengan sokongan dan majoriti kukuh, bermakna pada saat ini kerajaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” kata Anwar.
Oleh Zarina Abdullah