SERIAN: Jika semua masyarakat Bidayuh bersatu, tidak mustahil bagi Parti Gabungan Sarawak (GPS) mempertahankan kesemua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Bidayuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg optimis ia dapat dipertahankan pada PRN nanti kerana kerajaan GPS telah memberikan perkhidmatan seperti pembangunan kepada masyarakat Bidayuh.
“Sekiranya kaum Bidayuh bersatu, kita (GPS) seharusnya baik-baik sahaja (untuk memenangi lapan kerusi Bidayuh).
“Anda boleh lihat bagaimana pelabur datang ke Serian dan sekarang ini terdapat pusat bandar selain tarikan pelancongan. Ini menunjukkan Serian semakin berkembang dan maju,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan SJK Chung Hua, Serian, semalam.
Lapan kerusi DUN majoriti Bidayuh adalah Opar, Tasik Biru, Serembu, Tarat, Kedup, Mambong, Tebedu dan Bukit Semuja dengan tujuh kini disandang GPS manakala Opar dimiliki Parti Sarawak Bersatu (PSB ) selepas penyandangnya Datuk Ranum Mina yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) langsung menyertai PSB.
Ditanya adakah pengundi di kawasan Opar bakal melihat wajah baharu pada PRN nanti, Abang Johari berkata sekarang Opar berbeza kerana di bawah pembangkang, dan GPS akan merebut semula kerusi tersebut dengan menurunkan calonnya sendiri.
Ditanya pemberita mengenai kemungkinan meletakkan semula ADUN Tebedu, Dato’ Sri Michael Manyin Jawong untuk mempertahankan kerusi itu, Abang Johari berkata ia bergantung kepada Manyin sama ada beliau mahu meneruskan perkhidmatannya.
“Ini adalah keputusannya, sekali lagi saya tegaskan, kita akan menyeberangi jambatan apabila sudah tiba masanya,” Katanya sambil berseloroh menanyakan kepada pemberita bilakah PRN akan diadakan kerana bercakap mengenai calon-calon bertanding.
Oleh Zarina Abdullah