AKUN GIMAN
SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu meneruskan Operasi Sanitasi nyahkuman di dua lokasi berasingan di Daerah Selangau, semalam.
Ketua JBPM Zon Sibu, PgKB I Janggan Muling berkata, lokasi pertama operasi di Pasar Tamu Pekan Selangau Fasa 1,2,3 dan Rumah Asap Selangau.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah diketuai PBT Mohd Shukri Ab Rahim dan pegawai kanan, PKPgB Suna Kaha turut berada di lokasi.
“Operasi turut dibantu oleh lima wakil dari Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Pejabat Daerah Selangau (dua), Kaunselor (dua), Polis Diraja Malaysia, RELA dan UKAS masing-masing seorang wakil.
“Kerja-kerja sanitasi nyahkuman tersebut bermula dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi dengan menggunakan kaedah penyemburan,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita, semalam.
Katanya, pasukan yang sama menerusi operasi di lokasi kedua iaitu di sekitar kawasan Pasar Tamu Pekan Stapang Fasa 1 dan 2 serta perhentian bas Stapang.
“Operasi bermula jam 11.30 pagi dan tamat pada jam 12.00 tengahari. Operasi dijalankan dengan kaedah penyemburan,” ujarnya.