


BINTANGOR: Pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 terus memperkukuh akses, keselamatan dan mobiliti penduduk rumah panjang di kawasan Parlimen Sarikei.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata beberapa projek infrastruktur asas telah diluluskan bagi memastikan kesejahteraan penduduk luar bandar terus diberi perhatian secara menyeluruh.
Katanya, tiga rumah panjang telah menerima kelulusan projek RTP melibatkan kerja menaik taraf jalan, pembinaan jalan konkrit dan penambahbaikan sistem perparitan.
“Kemudahan asas yang baik penting bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar serta memastikan kelancaran pergerakan, keselamatan dan ekonomi setempat.
“Pelaksanaan projek RTP ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara inklusif dan seimbang,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pelaksanaan projek RTP tersebut dijangka meningkatkan tahap keselamatan, memudahkan urusan kecemasan dan pengangkutan hasil pertanian penduduk.
Dalam pada itu, Tiong Sii telah diwakili oleh Wong Soon Mee dari Pusat Khidmat Parlimen Sarikei untuk sesi lawatan tapak projek RTP tersebut, baru-baru ini.
Soon Mee bersama Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Churchill Barrak telah meninjau kawasan projek, mendengar maklum balas penduduk dan menyaksikan penyerahan tapak projek.
Antara projek yang akan dilaksanakan adalah kerja menaik taraf jalan tanah kepada jalan konkrit di Rumah Murieng Kri, Ulu Bakong dan Rumah Bagong Usah di Batu 6 Jalan KJD
Sementara itu, Rumah Lawi Chong di Batu 5 Jalan KJD akan melibatkan kerja penambahbaikan sistem perparitan dan naik taraf kawasan halaman rumah panjang termasuk kemudahan parkir.
Oleh Earl Anek