Di negara ini, apa sahaja yang boleh dinikmati bersama boleh memainkan peranan untuk menyatukan semua kaum. Contoh paling mudah adalah makanan. Lihat sahaja bagaimana penangan nasi lemak, kari, Laksa Sarawak dan pelbagai jenis makanan lain yang boleh disesuaikan dengan cita rasa semua kaum dan secara tidak langsung menyatukan rakyat di negara ini.
Kuih Bulan merupakan satu lagi juadah yang mula dikongsi oleh semua kaum, khasnya di Sarawak. Jika sebelum ini Kuih Bulan dipelopori dan dihasilkan oleh masyarakat Cina, kini monopoli itu sudah berakhir.
Sekarang ini sudah ramai dalam kalangan orang Melayu, India atau bumiputera lain yang sudah mahir menghasilkan Kuih Bulan. Bukan setakat menghasilkan Kuih Bulan halal, malah mereka menghasilkan pelbagai versi seperti Kuih Bulan Kek Lapis, Kuih Bulan Perisa Durian, dan sebagainya.
Justeru pertukaran idea dan inspirasi ini secara langsung mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat, kata Menteri Muda Bekalan Air, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi ketika mengulas tentang Pertandingan Membuat Kek Bulan Bersalji sempena sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh 2020, baru-baru ini.
Diadakan di AeroVille Mall di sini, pertandingan berkenaan disertai oleh 25 peserta terdiri daripada pelbagai bangsa bagi sama-sama meraikan Pesta Musim Luruh tahun ini.
Abdul Rahman menambah kata, perayaan seperti ini mengubah persepsi masyarakat tentang satu-satu perayaan etnik dan mula meraikannya bersama-sama dalam suasana mesra dan harmoni.
Kenyataan ini turut diakui oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Hoi Tin Lau Restaurant Sdn. Bhd yang juga Pengerusi Penganjur Pertandingan ABS, Goh Ah Seng kerana menurut beliau, pertandingan seperti ini dapat meningkatkan persefahaman semua etnik, seterusnya mengukuhkan semangat harmoni dan perpaduan di negeri ini.
Malah kata beliau, Festival Pertengahan Musim Luruh 2020 amat sesuai untuk mempromosikan perayaan dalam komuniti negara, tambah beliau.
Seramai 25 peserta mengambil bahagian di dalam pertandingan ini yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Tukang Masak Haw Yu, Utusan Sarawak, SinChew Daily, AeroVille Malla, Liansin, Anna Liew Bufaflo dan Hoi Tin Lau Restaurant Sdn. Bhd.
Johan disandang oleh Chin Nyuk Lian dengan Kek Bulan bertemakan China Mooncake. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM200, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Naib johan disandang oleh Rapiah Sapaei dengan Kuih Bulan Satu Malaysia Kreatif Salji, manakala tempat ketiga jatuh kepada Lilian Bong dengan Kuih Bulan Pesta Musim Luruh.
Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai RM150 dan RM100 berserta sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Sementara itu 15 kumpulan lagi menerima hadiah sagu hati, sijil penyertaan dan hadiah iringan.