Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Semenyo bergaya penampilan sulung ketika Man City benam Exeter 10-1 
  • SUKAN

Semenyo bergaya penampilan sulung ketika Man City benam Exeter 10-1 

Utusan Sarawak 20 hours ago

Antoine Semenyo dari Manchester City meraikan jaringan golnya menentang Exeter. Foto AFP

MANCHESTER (UK): Antoine Semenyo menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama Manchester City apabila penyerang Ghana itu membantu pasukan baharunya membelasah Exeter 10-1 dalam pusingan ketiga Piala FA malam tadi. 

Semenyo menjaringkan gol pada babak kedua dalam aksi tanpa belas kasihan City di Stadium Etihad, manakala pemain tengah Rodri yang lama dibelenggu kecederaan turut menemui sasaran buat kali pertama sejak Mei 2024.

Semenyo menyertai City dari Bournemouth dengan yuran £65 juta (AS$87 juta) pada Jumaat dan tidak mengambil masa lama untuk memberi impak bersama pasukan kendalian Pep Guardiola.

Liverpool, Manchester United dan Tottenham antara kelab lain yang berminat mendapatkan Semenyo, yang mempunyai klausa pelepasan dilaporkan tamat pada Sabtu.

Pertahanan remaja, Max Alleyne, memulakan pesta gol apabila menolak masuk jaringan jarak dekat untuk gol pertamanya bersama City pada minit ke-12.

Rodri akhirnya kembali mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-24, melepaskan rembatan deras dari jarak jauh selepas percubaan Semenyo disekat.

Gol sendiri oleh dua pemain Exeter, Jake Doyle-Hayes dan Jack Fitzwater pada minit ke-42 dan ke-45, meletakkan keputusan hampir pasti.

Namun City terus menekan dan Lewis menyumbat masuk gol hasil voli pada minit ke-49, juga berpunca daripada gerakan Semenyo.

Gol sulung Semenyo tiba lima minit kemudian menerusi penyudah kemas.

Tijjani Reijnders meledak gol ketujuh dengan sepakan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-71, sebelum Nico O’Reilly menambah gol kelapan menerusi tandukan cantik hasil hantaran lintang Lewis.

Ryan McAidoo, 17, menjaringkan gol kesembilan pada minit ke-86 dengan rembatan dari luar kawasan, sebelum George Birch melepaskan sepakan padu ke penjuru atas gawang untuk menghadiahkan Exeter sekurang-kurangnya satu detik untuk dikenang.

City belum selesai apabila Lewis sekali lagi menemui sasaran pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan 10 gol.

Ia merupakan kemenangan terbesar City sejak menewaskan Huddersfield dengan jaringan sama pada 1987. Mereka juga pernah membelasah Burton 9-0 pada 2019.

Guardiola mungkin tidak berada di tepi padang kerana menjalani penggantungan satu perlawanan, namun jelas daripada senarai pemain bahawa beliau serius memburu kemenangan.

Pengendali City itu membuat enam pertukaran tetapi masih menurunkan barisan kuat termasuk Erling Haaland.

Keputusan itu menghadiahkan City kemenangan pertama dalam empat perlawanan terakhir dalam semua pertandingan selepas tiga keputusan seri berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris menyebabkan mereka ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Arsenal. – AFP

Continue Reading

Previous: Palace tersungkur, Macclesfield cipta kejutan terbesar Piala FA
Next: Salah hidupkan impian Mesir kejar kejuaraan AFCON

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.