Bryson DeChambeau melakar gelaran pertama sekali gus mencipta sejarah tersendiri pada kejohanan utama selepas mencatat tiga bawah par 67 untuk memenangi edisi ke-120 Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Pemain berusia 27 tahun dari AS itu yang bekerja keras ketika perintah berkurung untuk memperkemaskan pukulannya, membenam eagle di lubang kesembilan dari jarak 40 kaki dan menamatkan saingan dengan kelebihan enam pukulan berbanding pencabar terdekat yang juga rakan senegara berusia 21 tahun, Matthew Wolff.
“Oh Tuhan, saya masih tidak mempercayainya. Ia hasil keras keras selama ini,” kata DeChambeau yang mencatat keseluruhan enam bawah par 274.
Permukaan lapangan yang sukar bukan penghalang kepada DeChambeau yang dapat membuat pengiraan dan bacaan dengan tepat pada setiap pukulannya.
“Saya terus kekal fokus pada sembilan lubang terakhir. Saya perlu memanfaatkan setiap pukulan dengan cara paling terbaik.
“Itulah yang saya lakukan dan ia membuahkan hasil,” katanya.
DeChambeau mengakui sangat bekerja keras untuk melakar kejayaan pertama di kejohanan utama itu.
“Sepanjang hidup saya bekerja keras untuk melihat kejayaan ini. Saya mendapat keyakinan yang diperlukan pada minggu ini.
“Segala usaha saya selama ini berbaloi. Saya masih berasa terkejut ketika ini,” katanya.-AFP