KUCHING: Pandemik Covid-19 tidak harus dijadikan satu alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya umum kerana Singapura juga mengadakan pilihan raya mereka, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Masing.
Masing membidas kenyataan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng yang menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji dengan sekutunya pilihan raya umum akan diadakan sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya Sabah yang akan datang.
“Apakah salahnya Muhyiddin mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) PRU15 sekarang? Pada saya, keutamaan untuk mengadakan PRU15 adalah supaya rakyat boleh menentukan siapa yang mereka inginkan untuk menjadi Perdana Menteri bagi penggal lima tahun akan datang.
“Ini boleh memberi peluang kepada komuniti perniagaan untuk berfungsi seperti sebelum Covid- 19. Bagaimanapun, bagi mengelak penularan wabak ini, kita boleh melaksanakan prosedur operasi standard ( SOP) yang tegas semasa PRU15,” kata Masing.
Lim mengkritik langkah Muhyiddin sebagai tidak bertanggungjawab kerana beliau menggunakan PRU15 sebagai satu umpan untuk sekutu PN berkerja keras bagi menjayakan pilihan raya di Sabah ketika Covid-19 sedang merebak.
Sementara itu Muhyiddin menyebut keputusan pilihan raya Sabah akan menjadi penentu bila PRU15 akan diadakan.
Oleh Connie Chieng