EMPAT belas pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia 2020, yang dianjurkan buat julung kalinya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bermula Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah Shurizan Mansor berkata, format kejohanan dibahagikan kepada dua, dengan kategori lelaki akan beraksi secara liga dua kumpulan, manakala wanita secara liga satu kumpulan.
“Bagi kategori lelaki, empat pasukan daripada kumpulan A dan empat pasukan daripada kumpulan B, akan mara ke suku akhir bagi meneruskan perebutan ke perlawanan akhir,” katanya dalam sidang media di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM),semalam.
Beliau berkata bagi pasukan wanita pula, empat pasukan terbaik akan melangkah ke separuh akhir untuk merebut tempat aksi final dalam mengejar gelaran juara sulung, Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia.
“Untuk pemain kebangsaan, kami telah berbincang dengan ketua jurulatih kebangsaan Arul Selvaraj dan persetujuan secara lisan telah diterima, untuk melepaskan pemain-pemain kebangsaan beraksi dalam kejohanan ini,” katanya.
Kejohanan selama lima minggu itu akan membuka tirai pada 26 Okt dan akan dilangsungkan pada setiap hujung minggu, dengan aksi final dijadual pada 29 Nov depan.
Kejohanan itu telah menerima penyertaan daripada persatuan-persatuan hoki yang bernaung di bawah Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) seperti Persatuan Hoki Negeri Perlis, Negeri Sembilan, Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).-Bernama