Kylian Mbappé (kiri) sering menjadi tonggak Real Madrid musim ini, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap jurulatih Xabi Alonso (kanan). Foto AFP
MADRID: Real Madrid mengesahkan bahawa Kylian Mbappé mengalami kecederaan terseliuh pada lutut, sekali gus menjadi tamparan kepada usaha mereka untuk mengejar pendahulu La Liga, Barcelona.
“Selepas ujian yang dijalankan hari ini (Rabu) ke atas pemain kami Kylian Mbappé oleh pasukan perubatan Real Madrid, beliau disahkan mengalami terseliuh pada lutut kiri. Menunggu perkembangan lanjut,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Real Madrid tidak menyatakan tempoh ketiadaan penyerang berusia 27 tahun itu, namun satu sumber yang rapat dengan bintang Perancis tersebut memberitahu AFP bahawa beliau dijangka akan berehat sekurang-kurangnya tiga minggu.
Mbappé, penjaring terbanyak La Liga musim ini dengan 18 gol, kini diragui untuk beraksi dalam perlawanan liga menentang Real Betis pada Ahad ini — perlawanan pertama Los Merengues selepas rehat musim sejuk — ketika mereka ketinggalan empat mata di belakang Barcelona.
Beliau juga berkemungkinan terlepas aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol menentang musuh tradisi Atletico Madrid di Arab Saudi pada 8 Januari, selain perlawanan liga menentang Levante dan pertembungan Liga Juara-Juara menentang bekas kelabnya, Monaco.
Real Madrid tidak menyatakan bila atau bagaimana Mbappé mengalami kecederaan tersebut, namun beliau dilaporkan menjalani latihan bersama pasukan pada Selasa. Pemain itu menjalani imbasan MRI pada Rabu.
Mbappé menikmati tahun 2025 yang cemerlang apabila menyamai rekod kelab Cristiano Ronaldo dengan 59 gol dalam satu tahun kalendar, dan sering menjadi tonggak utama Real Madrid, sekali gus mengurangkan tekanan ke atas jurulatih yang dikritik, Xabi Alonso.
Beliau telah menjaringkan 73 gol dalam 83 perlawanan bersama Real sejak menyertai kelab gergasi Sepanyol itu secara perpindahan percuma dari Paris Saint-Germain 18 bulan lalu.
Musim lalu, beliau muncul penjaring terbanyak La Liga dengan 31 gol — empat gol lebih banyak daripada Robert Lewandowski (Barcelona) — dan kini mendahului carta penjaring musim ini dengan kelebihan tujuh gol berbanding pencabar terdekat, Ferran Torres dari Barcelona.
Ketiadaan Mbappé menambah senarai kecederaan Real Madrid yang turut melibatkan pertahanan Daniel Carvajal, Éder Militão, Trent Alexander-Arnold, pemain tengah Federico Valverde serta penyerang Brahim Díaz yang kini menyertai Piala Negara-Negara Afrika bersama Maghribi. — AFP