

FOTO Facebook Bowls Malaysia.
KUALA LUMPUR: Pasukan boling padang negara menutup tirai 2025 dengan gemilang apabila meraih kejayaan berganda di pentas antarabangsa menerusi Kejohanan Boling Padang Terbuka China 2025 dan Jemputan Boling Padang Dunia Tiger 2025 yang berlangsung di Hangzhou, China baru-baru ini.
Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berkata kejayaan menjuarai dua kejohanan utama di China membuktikan kekuatan pasukan negara dalam mengekalkan reputasi sebagai antara pasukan terbaik Asia.
Beliau berkata keupayaan mengharungi dua kejohanan secara berturut-turut menunjukkan tahap kekuatan para atlet negara daripada aspek ketahanan mental, semangat berpasukan dan konsistensi prestasi.
“PLBM amat berbangga dan yakin prestasi ini mampu diteruskan pada kejohanan antarabangsa akan datang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pada Kejohanan Boling Padang Terbuka China 2025 yang berakhir semalam, Malaysia memenangi pingat emas Men’s Fours selepas mengatasi pasukan tuan rumah Zhu Hai sementara skuad wanita negara berjaya ke final Women’s Fours sebelum tewas kepada Zhong Ti Time sekali gus membawa pulang perak.
Skuad wanita negara pula dinobatkan sebagai juara Women’s Fours pada Jemputan Boling Padang Dunia Tiger 2025 yang berlangsung dua hari sebelum itu manakala pasukan lelaki terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Men’s Fours.
Sebagai rekod, kedua-dua kejohanan dianjurkan secara berturut-turut buat pertama kali di China sekali gus menguji tahap kecergasan fizikal, fokus dan konsistensi atlet negara sepanjang jadual pertandingan yang padat.
-BERNAMA