LONG TENGOA: Penglibatan masyarakat setempat dalam mempromosi tempat menarik ke kawasan masing-masing adalah sangat penting kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Syukri.
Beliau berkata pihaknya akan membantu melalui program bimbingan dan kursus kepada penduduk terlibat dalam sektor pelancongan.
Ia bagi membolehkan penduduk terlibat mampu memberikan penerangan dan mengetahui secara terperinci mengenai produk di kawasan mereka.
Nancy melaksanakan perasmian Pusat Kebudayaan Kaum Tagal di kampung Long Tengoa Trusan semalam turut melahirkan rasa gembira dengan maklumat baharu membabitkan etnik kaum Tagal yang hanya terdapat di Lawas.
Katanya, budaya masyarakat Tagal itu perlu dipelihara kerana ia mempunyai keunikan yang berupaya menarik kehadiran pelancong untuk mengunjungi Kampung Long Tengoa.
“Sarawak kaya dengan kepelbagaian kaum etnik yang mempunyai aneka budaya berbeza.
Ini adalah kekuatan yang kita miliki dan boleh meransang kepada pertumbuhan dalam sektor pelancongan domestik,” katanya.
Tamabah Nancy, keupayaan anak tempatan dalam menceritakan keunikan, sejarah dan keistimewaan kawasan mereka perlu digilap untuk menarik pelancong domestik ini.
Malahan generasi muda yang mempunyai kemahiran teknologi maklumat boleh menggunakan platform media sosial untuk mempromosi kawasan mereka.
Pada majlis berkenaan Nancy turut mengumumkan peruntukan RM20 ribu untuk memulihara kebudayaan Tagal yang unik.
Sementara itu, kerajaan Pusat dibawah Perikatan Nasional (PN) akan terus mempergiatkan usaha membawa pembangunan ke Sarawak da negeri-negeri lain di Malaysia.
Ini kerana selama 22 bulan, Sarawak sering dipandang sepi oleh kerajaan Persekutuan terdahulu dibawah Pakatan Harapan (PH).
Oleh Adeng Edrus