KUCHING: Bersempena Festival Pertengahan Musim Luruh 2020, acara pertandingan Membuat Kuih Bulan Bersalji Kreatif akan diadakan Aeroville Mall, Jalan Stutong di sini hari ini.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Persatuan Tukang Masak How Yu dengan kerjasama rakan media, Utusan Sarawak dan Sin Chew Daily serta ditaja oleh AeroVille Mall, Liansin, Anna Liew Buffalo dan Hoi Tin Lau Restaurant Sdn. Bhd.
Penyertaan dibuka kepada warga Kuching yang berbakat dan berminat membuat Kuih Bulan tanpa mengira umur dan bangsa dengan terhad kepada 30 kumpulan sahaja yang mana setiap kumpulan terdiri daripada dua orang ahli, sama ada dua dewasa atau seorang dewasa bersama seorang kanak-kanak.
Beberapa hadiah menarik bakal disediakan oleh pihak penganjur selain penyertaan yang ditolak kerana melebihi had penyertan turut menerima ‘door gift’ di samping acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik.
Pada pertandingan hari ini peserta tidak perlu membawa bahan masakan atau peralatan kerana semua keperluan disediakan oleh pihak penganjur kecuali membawa bahan hiasan untuk dekorasi Kuih Bulan masing-masing.
Kriteria penghakiman dibuat berdasarkan kriteria hiasan (40 markah), reka bentuk, kreatif (30 markah), kekemasan (20 markah) dan kebersihan (10 markah).
Antara hadiah yang ditawarkan ialah RM200 berserta hadiah istimewa untuk pemenang pertama, tempat kedua bakal membawa balik RM150 berserta satu hadiah istimewa dan untuk tempat ketiga ialah RM100 berserta hadiah sampingan.
Sementara itu, 15 kumpulan lain turut menerima hadiah sagu hati berupa Kek Bulan dan Kuih Bulan serta hadiah sampingan.
Dalam pada itu, mereka yang datang tetapi bukan untuk bertanding juga layak menerima ‘door gift’ dengan syarat membawa bersama borang penyertaan asli.
Borang penyertaan boleh didapati daripada akhbar-akhbar yang menjadi rakan media pertandingan serta perlu dilengkapi dengan maklumat peserta, dirakam gambar dan dihantar melalui WhatsApp ke nombor 016-8078118 dan 016-8893813 atau dihantar ke kaunter AeroVille Mall dengan acara bermula pada jam 1.00 hingga 4.30 petang ini.