Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Warga emas Shanghai menari hidupkan nostalgia
  • GLOBAL

Warga emas Shanghai menari hidupkan nostalgia

Utusan Sarawak 10 hours ago
FOTO ini diambil pada 10 Disember 2025 menunjukkan warga emas menari di Dewan Tarian Hai Shang Jiu Meng di daerah Changning, Shanghai. Foto AFP

SHANGHAI: Ketika kebanyakan orang menghabiskan waktu rehat makan tengah hari, sekumpulan warga emas di Shanghai memilih untuk menyertai sesi tarian, menari waltz, foxtrot dan rumba bagi mengimbau kenangan silam.

Di bawah lampu disko, Xu Li, 60 tahun, mencuri perhatian dengan tarian lincah bersama pasangannya, disambut sorakan rakan-rakan sebaya.

FOTO ini menunjukkan Kuai Yuqin (tengah, kiri) menari bersama pasangan di Paramount Ballroom di daerah Jing’An, Shanghai. Foto AFP

Fenomena kelab tarian waktu tengah hari ini lahir daripada minat mendalam Shanghai terhadap budaya tarian ballroom sejak era jaz pada 1930-an.

Hingga hari ini, pelbagai lokasi di bandar itu menganjurkan sesi tarian siang yang berlangsung selama beberapa jam, ada yang bermula seawal 6.00 pagi.

Antara lokasi terkenal ialah Paramount Ballroom yang bersejarah, mengekalkan suasana klasik era 1930-an, manakala dewan tari moden pula dihiasi lampu neon berwarna-warni. Kesemuanya menjadi tempat warga emas bersosial, bersenam dan mengisi masa lapang selepas bersara.

TETAMU warga emas menunggu untuk menari. Foto AFP

“Saya berasa sunyi selepas bersara,” kata Lin Guang, 66 tahun. “Menari di sini membuatkan saya berasa muda semula dan lebih bertenaga.”

Suasana di dewan tari dipenuhi tirai baldu, lantai kayu dan alunan muzik jazz klasik Shanghai yang dimainkan secara langsung.

Wanita tampil anggun memakai gaun vintaj atau cheongsam, manakala lelaki pula berpenampilan kemas dengan kasut digilap rapi.

SEORANG lelaki warga emas sedang memerhati pasangan-pasangan menari di Dewan Tarian Shiguang. Foto AFP

Menurut ketua kumpulan muzik, Jin Zhiping, 69 tahun, sesi tarian ini bukan sekadar hiburan, tetapi memberi makna dan tujuan kepada warga emas.

“Ia menaikkan semangat kami dan membuatkan kami rasa masih berguna,” katanya.

Bagi Xu, manfaat menari amat besar. “Saya berasa lebih sihat dan yakin dengan diri sendiri,” katanya.

Pada era 1930-an, tarian ballroom melambangkan kemodenan di Shanghai, sebuah bandar pelabuhan yang menyerap pengaruh budaya asing.

Paramount Ballroom pernah menjadi tumpuan golongan elit dan tokoh terkenal dunia, termasuk pelakon Charlie Chaplin.

Hari ini, dewan tari itu masih beroperasi dan dikunjungi warga emas seperti Wei Xiaomeng, 90 tahun, yang datang hampir setiap hari.

“Tempat ini seperti rumah saya,” katanya.

Bagi pengunjung tetap, dewan tari bukan sekadar tempat menari, tetapi ruang untuk menghilangkan rasa sunyi, membina persahabatan dan menikmati kehidupan di usia emas.

“Di sini, semuanya adalah kegembiraan,” kata Fafa, 70 tahun. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Angin kencang, rebut salji diramal di seluruh Jepun
Next: 4 maut feri bertembung akibat kabus tebal di Sungai Meghna, Bangladesh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.