
SERIAN: Seorang lelaki dewasa cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang melanggar penghadang jalan di P-Turn berhampiran sebuah kilang ais di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.15 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
Menurut kenyataan JBPM, jentera bomba tiba di lokasi pada 4.21 petang dan mendapati kemalangan kendiri tersebut melibatkan sebuah kenderaan yang terbabas lalu melanggar penghadang jalan.
“Mangsa merupakan pemandu kenderaan dan tidak tersepit, namun mengalami kecederaan pada bahagian kaki,” menurut kenyataan itu.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak memberikan rawatan awal sebelum mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serian menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Rawatan Kecemasan Perubatan (EMRS) Bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi dikawal sepenuhnya pada 4.29 petang dan ditamatkan pada 4.40 petang selepas keadaan disahkan selamat.
Seramai tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan satu jentera FRT dan satu EMRS, diketuai PBK II TBK I Dobbin selaku Komander Operasi.