
KUCHING: Persatuan Seni Kreatif Sifar Sarawak (SIFAR) akan mempersembahkan pementasan Teater Muzikal Kesuma Santubong, sebuah karya menjanjikan pengembaraan emosi dan seni budaya Sarawak yang kaya.
Pementasan ini bakal berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBP Cawangan Sarawak) pada Sabtu dan Ahad ini, bermula 8.00 malam.
Teater muzikal ini merupakan karya dan arahan penuh emosi daripada Jamshari Saili. Pementasan ini dijangka memaparkan kekayaan legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang, membawa penonton menyelami keindahan kisah tempatan dengan gaya persembahan moden.
Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu perjalanan emosi dan intelektual yang membawa mesej berbentuk pengajaran dan boleh diteladani oleh penonton pelbagai peringkat usia. Pementasan kali ini menjanjikan kelainan yang signifikan melalui pengisian muzikalnya.
Selain mengangkat semula lagu-lagu rakyat Sarawak yang semakin ditelan zaman dan kurang dikenali generasi muda, teater ini turut memperkenalkan barisan lagu-lagu baharu hasil ciptaan bakat muda tempatan yang sedang meningkat naik, Fitri Jeff.
“Kami ingin memastikan khazanah lagu rakyat kita tidak hilang begitu sahaja. Dengan sentuhan segar daripada Fitri Jeff, kami menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari agar karya ini lebih dekat di hati penonton moden tanpa mengetepikan nilai estetika sejarahnya,” ujar wakil jurucakap SIFAR.
Gabungan melodi puitis dan penceritaan yang mendalam ini bertujuan untuk menyuntik nafas baharu kepada legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.
Penonton bakal dibawa mengimbas kembali keindahan budaya Sarawak melalui persembahan vokal yang mantap dan susunan muzik yang menyentuh jiwa.
Pengerusi SIFAR, Dr. Suffian Haji Jalet, sebelum ini menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan DBP Cawangan Sarawak bagi menjayakan pementasan ini.
Usaha persatuan seni seperti SIFAR turut disambut baik oleh kerajaan negeri dalam menyuburkan kembali aktiviti seni pentas tempatan. Produksi ini mendapat sokongan dari Majlis Seni Sarawak (MSS).
SIFAR merupakan sebuah persatuan seni kreatif yang aktif dalam pementasan teater dan memartabatkan seni budaya Sarawak.
Persatuan ini komited untuk memupuk bakat tempatan dan menyajikan karya seni berkualiti kepada masyarakat. Sejak penubuhan rasmi pada 2006, SIFAR telah menghasilkan lebih dari 20 pementasan teater serta penganjuran aktiviti kesenian dan kebudayaan.
SIFAR juga pernah menjadi Johan Festival Teater Malaysia Peringkat Sarawak sebanyak empat kali dan Johan Festival Teater Malaysia Peringkat Kebangsaan sebanyak dua kali.
Pementasan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan kemasukan adalah percuma. Orang ramai dinasihatkan untuk hadir lebih awal bagi memastikan tempat duduk memandangkan ruang adalah terhad.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti persatuan, anda boleh melayari laman sosial rasmi Persatuan Seni Kreatif Sifar Sarawak (SIFAR) di Facebook.