
KUCHING: Jumlah kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan Krismas 2024 mencatatkan penurunan apabila hanya 327 kes direkodkan, berbanding 389 kes pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, statistik itu melibatkan semua kategori kemalangan termasuk maut, parah, ringan dan rosak.
Menurut kenyataan itu, walaupun jumlah keseluruhan kemalangan menunjukkan trend menurun, kes kemalangan maut mencatatkan sedikit peningkatan daripada 12 kes pada 2023 kepada 13 kes pada Krismas tahun lalu.
“Bagi kategori lain, kemalangan rosak menurun daripada 369 kes kepada 311 kes, manakala kemalangan parah berkurang daripada dua kes kepada satu kes dan kemalangan ringan turut menurun daripada lima kes kepada dua kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, perbandingan statistik kemalangan bagi tempoh Januari hingga November turut menunjukkan penurunan apabila jumlah kes berkurang daripada 19,963 kes pada 2024 kepada 19,768 kes bagi tempoh sama tahun 2025.
JSPT menjelaskan, kira-kira 80 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada kelalaian dan kecuaian pemandu, dengan kes langgar dari belakang mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 30 peratus.
“Ini diikuti kes memandu laju dan terbabas sendiri (18 peratus) serta langgar tepi semasa keluar atau masuk simpang (16 peratus).
“Selain itu, empat peratus melibatkan pertembungan dua kenderaan, manakala pelanggaran objek di luar jalan dan kes mengundur masing-masing mencatatkan tiga peratus, diikuti kes lain-lain sebanyak dua peratus,” jelasnya.
Tambahnya, peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya turut menyumbang sekitar 15 peratus kepada kejadian kemalangan, manakala lima peratus lagi berpunca daripada faktor cuaca, keadaan jalan dan bentuk muka bumi.
Oleh Shahrul Qaizat