
KUCHING: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarawak digesa menganjurkan program berkhatan beramai dengan lebih kerap ketika musim cuti sekolah kerana ia memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, selain menjaga kebersihan dan kesihatan, program tersebut turut membantu meringankan beban kewangan ibu bapa serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Program berkhatan beramai bukan sahaja memudahkan ibu bapa, malah mampu merapatkan hubungan antara JKKK dan penduduk kampung, khususnya golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya semua JKKK di setiap kawasan DUN menganjurkan program seumpama itu secara konsisten, tiada anak lelaki yang cukup umur akan tercicir daripada berkhatan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Berkhatan Beramai Musim Cuti Sekolah 2025 anjuran JKKK Blok C Kampung Haji Baki di Dewan Komuniti Haji Baki, semalam.

Seramai 20 peserta menyertai program tersebut yang merupakan kali kelima dianjurkan oleh JKKK berkenaan.
Turut hadir Ketua Kaum Blok C Rosli Ahmad Darus, Ketua Kaum Blok A Haji Harzmi Abd Rani serta Pengerusi Persatuan Masyarakat Jawa Sarawak cawangan Kampung Haji Baki.