
LUNDU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan di Jalan Lundu Sematan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.15 pagi ketika mangsa memandu dari Kampung Sungai Limo menuju ke Roxy Sematan.
“Apabila tiba di Kilometer 14 Jalan Lundu Sematan, dipercayai kenderaan pemandu tersebut telah hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang jalan,” katanya.
Mangsa yang merupakan pemandu kereta berkenaan telah dikejarkan ke Hospital Lundu untuk rawatan. Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Lundu.
Menurut Sudirman, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati hati dan mematuhi peraturan lalu lintas, terutamanya ketika memandu.
Oleh Connie Chieng