
WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) semalam mengesahkan jutawan dan usahawan Jared Isaacman sebagai ketua baharu Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), sekali gus menamatkan ketidaktentuan selama beberapa bulan mengenai kepimpinan agensi angkasa itu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Isaacman, yang mempunyai hubungan rapat dengan jutawan teknologi Elon Musk, disahkan menerusi undian 67 menyokong dan 30 menentang.
Beliau kini akan mengetuai hala tuju NASA, termasuk program penerokaan bulan yang menjadi keutamaan Presiden AS Donald Trump.
Sebelum ini, Setiausaha Pengangkutan Sean Duffy menjalankan peranan kepimpinan NASA secara sementara.
Trump pertama kali mencalonkan Isaacman untuk jawatan itu pada Disember tahun lalu ketika beliau masih Presiden terpilih.
Bagaimanapun, pencalonan itu ditarik balik pada akhir Mei susulan perbezaan pandangan dengan Musk, menurut laporan media AS termasuk The New York Times.
Dalam satu langkah yang tidak dijangka, Trump mencalonkan semula Isaacman pada awal November sambil memuji kelayakan dan visinya dalam penerokaan angkasa lepas.
Dalam satu kenyataan, Trump berkata minat mendalam Isaacman terhadap angkasa lepas, pengalamannya sebagai angkasawan serta komitmennya untuk memajukan penerokaan dan ekonomi angkasa menjadikannya calon yang sesuai untuk memimpin NASA ke fasa baharu.
Isaacman sebelum ini menarik perhatian apabila mengetuai dua misi angkasa persendirian. Pada 2021, beliau menyertai misi awam yang mengorbit Bumi selama hampir tiga hari.
Pada September 2024 pula, beliau terlibat dalam misi Polaris Dawn yang menyaksikan kru mencapai ketinggian sekitar 1,400 kilometer.
Trump menetapkan kepulangan angkasawan AS ke bulan sebagai satu daripada matlamat utama pentadbirannya.
Di bawah Program Artemis, NASA merancang untuk membawa semula angkasawan ke bulan buat kali pertama dalam tempoh lebih 50 tahun sebagai langkah awal ke arah misi ke Marikh.
NASA menyasarkan untuk menghantar kru empat anggota mengorbit bulan menjelang April 2026, diikuti pendaratan kru di bulan pada 2027. – Bernama