NASI lemak merupakan antara makanan popular di Malaysia, lebih-lebih lagi untuk sarapan pagi.
Bau haruman santan kelapa dan daun pandan sentiasa menjadi tarikan selera untuk pengemar nasi lemak.
Bagi yang ingin mencuba memasak nasi lemak sendiri dirumah, hanya beberapa bahan asas yang perlu digunakan. Memasaknya nasinya tidaklah serumit mana, hanya mungkin sambal yang menjadi pelengkap nasi ini yang agak sukar disiapkan.
Bahan-bahan asas yang diperlukan untuk masak nasi lemak ialah beras, daun pandan, halia, garam dan minyak masak atau santan.
Langkah pertama, cuci beras dalam periuk nasi, sukatan air adalah sama mengikut paras beras. Asingkan terlebih dahulu beras dan air, kemudian masukkan air di dalam periuk berlainan.
Selepas disukat paras air dan beras, masukkan santan pekat sukatan 200ml atau santan yang diperas sendiri dari kelapa tua dalam periuk berisi air.
Kemudian masukkan halia yang telah ditumbuk dan daun pandan telah dipotong kecil.Masukkan garam secukup rasa dan masukkan minyak masak atau santan.
Sekiranya menggunakan lima cawan beras, masukkan minyak masak lebih kurang lima sudu besar. Kemudian didihkan dengan api sederhana terlebih dahulu sebelum memasukkan beras ke dalam periuk nasi.
Selepas air santan mendidih lebih kurang lima minit, masukkan beras yang telah dicuci tadi. Bagi memastikan nasi sekata dengan beras, kacau dalam tempoh setiap lima minit dan ulanginya sehingga masak.
Untuk penyediaan sambal nasi lemak, bagi sambal nasi lemak biasa, kita hanya perlukan beberapa bahan asas iaitu cili kering, bawang merah, bawang putih, bawang besar, air asam jawa, gula dan garam.
Langkah penyediaan sambal nasi lemak, kisarkan bawang merah dan bawang merah. Kemudian rebuskan cili kering terlebih dahulu dan selepas mendidih, toskan cili kering.
Bagi yang tidak ingin sambal yang terlampau pedas, buang biji-biji cili kering selepas ditoskan. Kemudian, kisarkan cili kering tersebut sehingga hancur dan ketepikan sebentar.
Langkah seterusnya, hiriskan bawang besar dan tumis sehingga bau naik. Masukkan bawang merah, bawang putih dan cili kering yang telah dikisar ke dalam tumisan bawang besar.
Kecilkan api dan tumis sehingga pecah minyak dan kemudian baru masukkan gula secukup rasa dan air asam jawa.
Bagi menambah kesedapan dan ketahanan sambal nasi lemak, reneh lebih lama sekurangnya lebih kurang tiga jam ke lima jam dengan api kecil.
Ketahanannya lebih lama dan mampu bertahan sehingga seminggu.
Bagi yang ingin menyimpan sambal nasi lemak, simpan dalam mangkuk kedap udara dan masukkan dalam peti sejuk.
Kalau kita lihat di kedai-kedai makan, pelbagai variasi makanan nasi lemak disajikan kepada pengemar nasi lemak.
Nasi lemak biasanya dihidangkan bersama sambalnya, kacang goreng, ikan bilis goreng, hirisan buah mentimun dan telur goreng mata kerbau.
Untuk lebih menarik dan aroma tersendiri, nasi lemak juga dibungkus dengan daun pisang sebelum dijual kepada pelanggan.
Tak kurang yang menghidangkan ayam goreng bersama nasi lemak dan sambal nasi lemak yang mempunyai keenakan tersendiri.
Apa yang pastinya, nasi lemak sentiasa menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia sebagai juadah pembuka selera, pada bila-bila masa.
Oleh Earl Anek