
BATU NIAH: Keadaan banjir kilat di Kampung Tanjung Belipat menurun manakala jalan raya menuju ke Kampung Kuala Tangap masih ditenggelami air.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus turut turun padang meninjau keadaan banjir di kawasan beliau pagi tadi.
Katanya, pemantauan bermula pada 11.00 pagi di Kampung Tanjung Belipat telah surut dan jalan raya boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Bila sampai di hujung Kampung Tanjung Belipat mendapati jalan raya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Belipat dan Kampung Kuala Tangap tidak dapat dilalui kenderaan.
“Pemantauan ini ialah susulan peningkatan paras air akibat hujan sebelum ini.
Sementara itu, tambahnya bahawa keadaan banjir di jalan raya menuju pekan lama Sepupok masih ditenggelami air dengan trend air menunjukkan penurunan.
Walau bagaimanapun, laluan berkenaan masih tidak dapat dilalui oleh kenderaan buat masa ini, katanya.
Utusan Sarawak difahamkan bahawa pihak Pejabat Daerah Kecil Niah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun meninjau kawasan yang masih mengalami banjir kilat hari ini.
Oleh Adum Liu