Penduduk yang dipindahkan berlindung di pekan wilayah Banteay Meanchey, Kemboja pada 12 Disember 2025 selepas melarikan diri akibat pertempuran antara Thailand dan Kemboja berhubung tuntutan wilayah. Foto AFP
WASHINGTON: Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghentikan pertempuran di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, menurut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, susulan perbualannya dengan pemimpin kedua-dua negara.
Trump berkata gencatan senjata akan berkuat kuasa serta-merta dan kedua-dua negara bersetuju kembali kepada perjanjian damai yang dicapai pada Julai lalu dengan penglibatan Amerika Syarikat, China dan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.
Konflik terbaharu itu, berpunca daripada pertikaian sempadan era penjajahan sepanjang kira-kira 800 kilometer, dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 20 nyawa minggu ini serta menyebabkan hampir setengah juta penduduk dipindahkan di kedua-dua pihak.

Thailand sebelum ini menggantung perjanjian gencatan senjata selepas beberapa anggotanya cedera akibat letupan periuk api, manakala kedua-dua negara saling menyalahkan antara satu sama lain kerana mencetuskan semula konflik.
Trump turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas peranannya dalam membantu usaha damai tersebut. – AFP