
SIMANGGANG: Dua individu dilaporkan selamat selepas kereta Perodua Viva terbabas dan memasuki parit di hadapan Kuarters Gunasama Persekutuan, Jalan Akses Sri Aman, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, panggilan mengenai kemalangan tersebut diterima pada 12.40 tengah malam.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian, pada 12.44 pagi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Noor Faqriakmal Jamari, melaporkan kedua-dua mangsa telah berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kami memastikan keadaan di lokasi selamat sebelum bertolak balik ke balai. Tiada operasi penyelamatan dijalankan kerana mangsa telah selamat,” katanya.
Jumlah anggota yang terlibat dalam operasi ini ialah lapan orang, dibantu oleh jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Kejadian turut mendapat bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) di lokasi.
Maklumat awal menunjukkan mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan. Kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dilaporkan stabil.
JBPM Sarawak menasihati orang ramai supaya memandu dengan berhati-hati, terutama pada waktu malam dan sentiasa mematuhi had laju serta peraturan jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.
Oleh Adi Safarman