
SUZHOU (China): Lawatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama delegasi ke Pusat Pameran Suzhou Industrial Park (SIP) hari ini sekali gus membuka lembaran baharu mengenai perancangan berdisiplin, tadbir urus berkesan dan inovasi teknologi mampu membentuk ekosistem perindustrian bertaraf dunia.
Hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros) Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi Petros, Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Dato Janin Girie serta rombongan lain.
Ketibaan delegasi Sarawak disajikan dengan paparan kronologi transformasi SIP kepada hab industri global yang menggabungkan pembuatan berteknologi tinggi, bandar pintar dan kelestarian alam sekitar.
Model perancangan induk berskala besar yang dipamerkan memperlihatkan penyepaduan industri, infrastruktur, kediaman dan ruang hijau secara seimbang yang menjadi tunjang kejayaan SIP.
Taklimat yang disampaikan turut menonjolkan kekuatan SIP dalam membangunkan kluster industri bernilai tinggi, termasuk semikonduktor, bioperubatan, automasi, teknologi maklumat serta tenaga bersih.
Perhatian delegasi turut tertumpu kepada penggunaan teknologi digital dan sistem pengurusan bandar berasaskan data yang meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, pengurusan utiliti serta perancangan bandar rendah karbon.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) sebagai pemangkin ekonomi masa hadapan.
Lawatan ke Pusat Pameran SIP ini bukan sekadar tinjauan pameran, malah menjadi platform pembelajaran strategik yang memberi inspirasi kepada Sarawak untuk menyesuaikan amalan terbaik global mengikut konteks tempatan dengan matlamat membina industri yang berdaya saing, berteknologi maju dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Selepas itu, Premier Sarawak bersama delegasi mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar, Kerajaan Perbandaran Suzhou, Wu Qingwen.
Hadir sama Timbalan Pengurus Besar, China Jiangsu International Group, Deng Yajun serta Setiausaha Agung, Kerajaan Perbandaran Suzhou, Xu Ben.
-UKAS