MELAKA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga di Pahlawan Walk di Bandar Hilir di sini.
Perdana Menteri tiba kira-kira 1.00 tengah hari sejurus selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di
sebuah hotel berhampiran.
Pusat perniagaan yang terkenal dalam kalangan pengunjung dalam dan luar negara itu menempatkan peniaga barangan kraf, cenderamata dan makanan tradisional Melaka.
Muhyiddin yang diiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali turut dilihat membeli dodol di sebuah gerai jualan yang terletak di situ serta makan tengah hari dengan menu terkenal Melaka, asam pedas.
Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat MTEN yang turut disertai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ini merupakan kunjungan pertama Muhyiddin ke Melaka sejak menjadi Perdana menteri pada 1 Mac lepas.
Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Kuantan, Robiah Ismail melahirkan rasa teruja bertemu perdana menteri ketika berkunjung ke Pahlawan Walk bersama keluarganya.
“Perdana Menteri amat ramah orangnya, dekat dengan hati rakyat,” katanya.
Kunjungan itu juga memberikan pengalaman istimewa kepada pekerja sebuah gerai, Che Amirul Ashraf Che Mohd Azmi, 19, selepas perdana menteri membeli dodol durian dan asli di gerai berkenaan.
“Saya rasa bertuah kerana banyak-banyak kedai,beliau memilih membeli di kedai ini,” katanya.-Bernama