DITEMUI LEMAH...Parum menghampiri mangsa yang dalam keadaan lemah selepas melakukan tinjauan di lokasi yang boleh mengelirukan pandangan. Foto: Polis LimbangĀ
LIMBANG: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang dan telah ditemui selamat mendakwa mengekori jejak seorang ‘wanita cantik’.
Renggi Minggat, 70, dikatakan sesat lebih 10 kilometer dalam kebun durian semalam selepas lebih 24 jam dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, mangsa dari Kampung Merasam Darat itu ditemui dalam keadaan lemah pada 3:30 petang.
“Kehilangan mangsa itu dikaitkan dengan unsur mistik selepas mangsa mendakwa ditemani wanita cantik, ketika sedang menebang pokok durian dan mengekorinya jauh ke dalam hutan.
“Berdasarkan keterangan mangsa, dia mendakwa mengekori wanita cantik tersebut hingga tersesat ke dalam hutan sebelum ditemui dalam keadaan lemah, tetapi masih boleh berjalan,” katanya kepada media.
Parum memberitahu mangsa telah ditemui oleh orang kampung di sebuah pondok di tepi jalan setelah mangsa berjaya keluar ke tepi jalan raya utama tidak jauh dari lokasi dilaporkan hilang.
Mangsa katanya, dibawa ke hospital Limbang untuk pemeriksaan kesihatan.
Pada Sabtu pagi, Renggi, dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk ke kebun durian di Kampung Merasam Darat, Limbang.
Usaha mencari mangsa dipergiatkan melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang dan penduduk kampung.
Oleh ADENG EDRUS