
MUKAH: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas di Kilometer 52, Jalan Mukah-Selangau, sekitar 2.40 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa berusia 20 tahun, mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Mukah.
Menurutnya, hasil siasatan awal, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah Mukah dalam perjalanan menuju ke Sibu telah hilang kawalan lalu melanggar pengadang di tepi jalan.
“Akibat impak perlanggaran tersebut mangsa telah terjatuh dari motosikal. Manakala motosikal mangsa yang masih bergerak telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4wd)
yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 43 tahun di laluan bertentangan.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda (4wd) tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi siaran media.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Rahmat Jalimin
di talian 011-31627137 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Oleh Akun Giman