
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menyatakan pengiktirafan terhadap peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pihak yang membantu memperkukuh struktur sokongan komuniti dan melaksanakan program berimpak di pelbagai peringkat di Sarawak.
Sebagai tanda penghargaan, satu Majlis Silaturahim Astana Sarawak bersama NGO telah diadakan yang melibatkan penyertaan 25 NGO yang aktif dalam bidang kebajikan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan masyarakat. Kehadiran mereka adalah sebagai tetamu jemputan selaras dengan sumbangan mereka dalam menyokong agenda pembangunan sosial.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri, Dato’ Sri Haji Syed Hamzah Syed Paie, hadir mewakili Tun Wan Junaidi untuk menyampaikan amanat di majlis tersebut.

Dalam amanat berkenaan, Tun Wan Junaidi menegaskan bahawa sumbangan NGO melengkapi usaha pelbagai pihak dalam memastikan kesejahteraan masyarakat dipelihara, sekali gus memantapkan ekosistem pembangunan sosial negeri.
Beliau turut menekankan bahawa kerja-kerja yang dilaksanakan NGO memperluas capaian inisiatif sosial, khususnya di kawasan yang memerlukan intervensi berterusan, serta secara tidak langsung membantu merealisasikan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Majlis ini diharap dapat menjadi wahana memperkukuh hubungan kerja antara institusi negeri dan pertubuhan masyarakat dalam menyokong agenda pembangunan yang inklusif serta berteraskan kepentingan rakyat Sarawak.