

Sebuah lori muatan sawit yang melintang di tengah jalan di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman–Serian, tengah hari tadi. Foto: PGO Bomba Sarawak
SERIAN: Misi anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi tumpahan minyak di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman–Serian berhampiran Kampung Sabal Aping, hari ini tergendala seketika.
Insiden itu berlaku apabila pasukan penyelamat yang sedang menuju ke lokasi kejadian terserempak dengan sebuah lori muatan sawit yang melintang di tengah jalan, sekali gus menghalang laluan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian berlaku ketika pasukan dari BBP Serian dalam perjalanan menghadiri panggilan berhubung insiden tumpahan minyak yang diterima pada 1.00 tengah hari.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Christopher Tungoh memaklumkan lori tersebut berada dalam keadaan merintangi laluan utama, menyebabkan pasukan berhenti bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan.


Sebuah lori muatan sawit yang melintang di tengah jalan di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman–Serian, tengah hari tadi. Foto: PGO Bomba Sarawak
Beliau berkata, anggota yang berada di lokasi memastikan tiada risiko tambahan kepada pengguna jalan raya sebelum meneruskan perjalanan.
“Tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan. Pemeriksaan dibuat bagi memastikan keadaan benar-benar selamat,” menurut PGO dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaik selesai pemantauan, pasukan meneruskan gerakan ke lokasi tumpahan minyak seperti diarahkan.
Operasi hari ini melibatkan lapan anggota bersama sebuah Jentera Bomba dan Penyelamat
(FRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Oleh Adi Safarman