

TERSEPIT…Dua lelaki maut selepas tersepit dalam sebuah treler membawa muatan jentera berat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Miri Bypass, di Miri petang tadi. Foto JBPM Sarawak.
MIRI: Dua lelaki maut selepas tersepit dalam sebuah treler membawa muatan jentera berat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Miri Bypass, di sini petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.20 petang sebelum menghantar pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa tidak dapat dikeluarkan kerana kedudukan jentera berat yang masih berada di atas treler.
“Anggota bomba membuka pintu bahagian pemandu terlebih dahulu untuk memberi ruang kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pemeriksaan.
“Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi seterusnya memerlukan bantuan kren bagi mengangkat dan mengalihkan jentera berat sebelum proses mengeluarkan mangsa diteruskan.