
PETRA JAYA: Sarawak mahu syarikat telekomunikasinya turut serta dalam pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM), satu inisiatif baharu Kerajaan Persekutuan untuk memantapkan infrastruktur digital negara.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, peluang penyertaan itu penting bagi memastikan penyelarasan rangkaian telekomunikasi antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung dapat diperkukuh.
“Kita berharap Kerajaan Persekutuan memberikan ruang kepada syarikat telekomunikasi milik negeri untuk terlibat secara langsung dalam projek SALAM,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 di sini, hari ini.
Projek SALAM, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026, melibatkan pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 3,190 kilometer (km) merentasi Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
Dalam pada itu, Julaihi turut memaklumkan bahawa SACOFA, syarikat telekomunikasi kerajaan negeri, sedang meningkatkan kapasiti rangkaian melalui kerja-kerja penambahbaikan gentian optik di seluruh negeri.
“Inisiatif yang bermula Oktober lalu ini dijangka siap dalam tempoh 20 bulan. Usaha ini akan mengukuhkan perkhidmatan rangkaian penghubung utama kepada penyedia seperti CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, sekali gus mengurangkan kesesakan rangkaian serta memastikan kualiti Internet lebih stabil kepada pengguna,” jelasnya.
Oleh Adele Rissa