Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pemuda PRS nyatakan sokongan penuh, Kabinet Negeri bertambah jadi 15 menteri
  • TEMPATAN

Pemuda PRS nyatakan sokongan penuh, Kabinet Negeri bertambah jadi 15 menteri

Utusan Sarawak 4 hours ago
Ahli jawatankuasa Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) merakam kenangan bersama pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pemuda PRS kali kedua yang berlangsung di Ibu Pejabat PRS, baru-baru ini. Foto kredit DUN N.59 Tamin

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) menzahirkan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 yang antara lain menaikkan jumlah Menteri Kabinet Negeri daripada 11 kepada 15.

Menurut kenyataan dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pemuda PRS kali kedua yang berlangsung pada 29 November di Ibu Pejabat PRS, pindaan berkenaan dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh keupayaan pentadbiran dan meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar kerajaan.

Pemuda PRS berpandangan penambahan portfolio itu juga penting dalam memperkemas persediaan negeri menghadapi keperluan pembangunan baharu, khususnya di kawasan luar bandar.

Sebagai salah satu parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), PRS menegaskan komitmen padu terhadap kepimpinan Premier Sarawak serta agenda pembangunan jangka panjang kerajaan negeri.

Mesyuarat itu turut sebulat suara bersetuju mengemukakan cadangan supaya Ketua Pemuda PRS yang baharu, Ir. Christopher Gira Sambang, dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Menurut parti itu, keperluan mewakili suara belia dalam Kabinet adalah signifikan bagi menjamin kesinambungan dasar, selain mengambil kira contoh terdahulu apabila Ketua Pemuda sebelum ini turut diberi mandat sebagai Timbalan Menteri.

Selaras usaha memperkasakan struktur pentadbiran negeri, PRS turut mencadangkan penambahan jawatan Menteri penuh serta dua atau tiga jawatan Timbalan Menteri, khusus bagi memperkukuh pelaksanaan dasar dan program pembangunan di kawasan luar bandar serta pedalaman yang mempunyai keperluan mendesak.

Parti itu berkata peningkatan representasi PRS dalam kerajaan GPS diyakini dapat mempercepat proses membuat keputusan, mengukuhkan koordinasi pembangunan dan memastikan komuniti luar bandar mempunyai suara lebih signifikan di peringkat Kabinet.

Pemuda PRS turut menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong visi kerajaan mewujudkan Sarawak yang progresif, inklusif dan berdaya saing, sambil menekankan bahawa penyertaan lebih ramai pemimpin muda dalam Kabinet mampu menjadi pemangkin kepada tadbir urus berkualiti dan pembangunan seimbang di seluruh negeri.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: DUN: Penguatkuasaan hutan diperkasa, 81 kes disiasat, rampasan hidupan liar meningkat di sempadan
Next: RT kekal relevan 50 tahun, gerak kerja ‘No More Silo’ ditekankan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.